Pesawat tanpa pemandu buatan Turkiye MALE Anka-S jadi aset terbaharu ATM  | DagangNews Skip to main content

Pesawat tanpa pemandu buatan Turkiye MALE Anka-S jadi aset terbaharu ATM 

Perolehan sistem MALE UAS Anka-S seiring dengan teknologi peperangan moden.
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 11 Okt - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal memasuki dimensi baharu dalam operasinya apabila kerajaan meluluskan perolehan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) dari Turkiye.

 

Firma Turkish Aerospace Industries (TAI) memenangi kontrak tersebut bagi perolehan tiga buah UAS kategori Medium Altitude Long Endurance (MALE) Anka-S.

 

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semasa merasmikan Karnival Tentera Darat di Taman Sri Lambak, Kluang, Johor kelmarin.

 

MALE UAS Anka-S boleh terbang selama 24 jam pada ketinggian 9,000 meter dan dilengkapi dengan pelbagai sensor bagi tujuan pemantauan.

 

Ia juga boleh membawa pelbagai sistem persenjataan seperti bom pintar, roket dan peluru berpandu antikereta kebal.

 

Sistem MALE UAS Anka-S boleh digunakan untuk melaksanakan misi risikan, tinjauan dan pemantauan (ISR) dengan menyalurkan maklumat pada masa sebenar (real time).

 

 

MALE UAS Anka-S
TAI mula membangunkan sistem Anka-S pada tahun 2013 sebelum melakukan ujian penerbangan tiga tahun kemudian.

 

 

Sejak 2018, firma TAI telah memeterai kerjasama dengan DRB-HICOM Defense Technologies (DEFTECH) bagi jualan dan sokongan untuk memasarkan Anka-S kepada ATM.

 

Malaysia sebelum ini menunjukkan minat pada MALE UAS Anka-S semasa dipertontonkan pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019.

 

Semasa mengadakan lawatan rasmi ke Turkiye pada Julai lalu, Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob turut dibawa melawat fasiliti  TAI di Ankara.

 

Sebagai persediaan mengoperasikan UAS, TUDM pada Julai 2020 mengumumkan penubuhan No 11 Skuadron (Dron) untuk mengendalikan aset terbaru itu.

 

Unit ini mengambil alih perjawatan No 11 Skuadron yang sebelumnya mengoperasikan pesawat Sukhoi SU-30MKM apabila ditukar sebagai No 12 Skuadron.

 

Difahamkan, skuadron UAS akan ditempatkan di Pangkalan Udara Labuan atas kepentingan strategik.

 

Langkah TUDM untuk mengoperasikan UAS sangat relevan kerana ia menjadi komponen penting dalam konsep pertempuran moden hari ini apabila mengimplementasikan teknologi robotik bagi meminimumkan penggunaan manusia.

 

 

male anka-s

 

 

Terbaharu dalam konflik di Ukraine, dron digunakan dengan berkesan oleh kedua-dua pihak terlibat selain konflik di Syria.

 

Disebabkan itu, TUDM tidak boleh ketinggalan dalam penguasaan teknologi baharu ini dan pada masa sama dapat menggandakan pertahanan ruang angkasa negara.

 

Selain MALE UAS, Hishamuddin turut mengumunkan perolehan dua buah pesawat rondaan maritim (MPA) yang ditawarkan firma Leonardo dari Itali.

 

Pesawat dua kipas ATR 72 MP ini menjadi pilihan TUDM berdasarkan ciri-ciri yang ada selain kos operasi yang rendah.

 

Selain rondaan, ATR 72 MP boleh melaksanakan misi antikapal selam, peperangan antipermukaan serta perisikan elektronik.

 

TUDM merancang untuk memperoleh enam buah pesawat MPA secara keseluruhannya.

 

Perolehan MPA adalah bagi menggantikan pesawat Beechcraft Super King Air B200T yang akan ditamatkan perkhidmatan selari dengan pelan Capability 55 (CAP 55) TUDM.

 

 

Pesawat MPA ATR 72 menjadi pilihan TUDM berdasarkan ciri-ciri sedia ada selain kos operasi yang rendah.
Pesawat MPA ATR 72 menjadi pilihan TUDM berdasarkan ciri-ciri sedia ada selain kos operasi yang rendah.

 

 

Beechcraft telah berkhidmat dalam TUDM sejak tahun 1994 dengan melakukan rondaan maritim secara terhad di Zon Ekonomi Esklusif negara.

 

Sebelum ini TUDM mengoperasikan empat pesawat tersebut namun, satu daripadanya terbabit nahas udara pada 21 Disember 2016.

 

Selain itu, MINDEF juga memperuntukkan kira-kira RM2.4 bilion dari Bajet 2023 bagi meningkatkan keupayaan sistem dan Sustainment Programme pesawat F/A-18D TUDM.

 

Ini penting bagi memastikan lapan buah pesawat berkenaan terus berkeupayaan melaksanakan penugasan seiring tuntutan keselamatan semasa.

 

 

tudm
MINDEF memperuntukkan kira-kira RM2.4 bilion dari Bajet 2023 bagi meningkatkan keupayaan sistem pesawat F/A-18D TUDM.

 

 

Turut diumumkan ialah perolehan kenderaan jenis A 4×4 sebanyak 136 buah dan kenderaan jenis B pelbagai unit dengan nilai perolehan sebanyak RM2.049 bilion

 

Bagaimana pun, jenis kenderaan A tersebut tidak dinyatakan tetapi berkemungkinan perolehan ini adalah sebahagian daripada proses menggantikan kenderaan APC Condor.

 

Antara calonnya ialah kenderaan berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4x4) yang dikeluarkan syarikat tempatan, Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (Mildef).

 

Kenderaan seberat sembilan tan ini boleh diperanankan untuk tugas tinjauan selain membawa 10 anggota serta dilengkapi dengan mesingan berat.

 

Turut bersaing ialah firma DEFTECH menerusi kerjasama dengan FNNS Turkiye untuk membekalkan kenderaan Pars 4x4.

 

Ciri-ciri amfibia pada Pars 4x4 dilihat memberi kelebihan pada kenderaan perisai ini selain boleh dilengkapkan dengan senjata antikereta kebal.

 

 

ATM
Kenderaan HMAV 4x4 Rentaka buatan Mildef.

 

 

Pada pembentangan Bajet 2023 Jumaat lalu, MINDEF menerima peruntukan sebanyak RM17.4 bilion iaitu pertambahan RM1.2 bilion berbanding tahun lalu.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM4 bilion untuk perolehan baharu dan senggaraan aset-aset sedia ada. - DagangNews.com