Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 13 Jan. - Entiti pasaran modal yang diselia, dilesenkan atau didaftarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan beroperasi menurut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa sepanjang tempoh Ordinan Darurat dan pelbagai bentuk tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
SC berkata, ia susulan kenyataan oleh Menteri Kewangan kelmarin bahawa pasaran modal tetap beroperasi sepanjang tempoh tersebut demi menyokong daya tahan dan pemulihan ekonomi Malaysia.
"Sebagai penyedia perkhidmatan perlu di bawah sektor perkhidmatan, peserta pasaran modal (CMP) dibolehkan terus menjalankan dan menyediakan aktiviti dan perkhidmatan pasaran modal.
"Entiti-entiti ini merangkumi bursa-bursa yang diluluskan, entiti berlesen (pemegang lesen CMSL), individu berdaftar, juruaudit berdaftar dengan Lembaga Pemantauan Audit, organisasi kawal seliaan sendiri, pengendali pasaran yang diiktiraf (RMO) dan entiti lain yang berkaitan dengan pasaran modal," jelas SC dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, SC memberitahu, pihaknya turut diberi kuasa untuk mengeluarkan surat pengesahan perjalanan kepada CMP bagi memudahkan pergerakan pekerja mereka sepanjang tempoh PKP.
SC turut mengingatkan entiti pasaran modal agar sentiasa berjaga-jaga dan mengambil semua langkah yang perlu untuk mengurangkan risiko penularan COVID-19 di tempat kerja masing-masing.
"Untuk maklumat lanjut atau memohon surat pengesahan, CMP boleh menghantar pertanyaan dan permohonan mereka kepada ApprovalLettersCOVID19@seccom.com.my," tambah SC lagi. - DagangNews.com