Pesona Metro raih kontrak bernilai RM242.2 juta daripada KL Wellness City | DagangNews Skip to main content

Pesona Metro raih kontrak bernilai RM242.2 juta daripada KL Wellness City

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Mei - Pesona Metro Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Pesona Metro Sdn. Bhd. meraih surat anugerah daripada KL Wellness City (H) Sdn. Bhd. untuk projek pembagunan bercampur berfasa bernilai RM242.2 juta di mukim Petaling.

  

Projek itu melibatkan pelaksanaan, prestasi, reka bentuk (jika berkenaan), pembinaan, penyiapan, pentauliahan mesin dan peralatan dan penyelenggaraan (jika berkenaan) untuk bangunan utama dan kerja-kerja luaran.

 

Kerja-kerja yang memakan masa 27 bulan bermula 1 Jun 2023 hingga 30 September 2025 melibatkan pembangunan tiga fasa.

 

"Pembangunan itu melibatkan pembinaan tiga blok blok bangunan yang mengandungi kedai strata, ruangan komersial dan tempat letak kenderaan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Surat anugerah itu tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham kumpulan.

 

Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan meningkatkan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh projek.

 

"Projek itu adalah sebahagian daripada perniagaan biasa kumpulan itu dan ia tidak memerlukan kelulusan daripada pihak berkuasa atau pemegang saham," katanya. - DagangNews.com