Petronas buat penghantaran kargo LNG ke-50 | DagangNews Skip to main content

Petronas buat penghantaran kargo LNG ke-50

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

[email protected]

 

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Petronas meraikan satu lagi kejayaan dalam teknologi gas asli cecair terapung (FLNG) berikutan penghantaran kargo LNG ke-50 dari kemudahan FLNG pertamanya,  LNG SATU Terapung Petronas  (PFLNG SATU).

 

Naib Presiden Aset LNG Petronas, Abang Yusuf Abang Puteh berkata, kargo tersebut berjaya dimuatkan ke kapal induk Seri Cemara LNG yang dikendalikan oleh MISC Berhad untuk penghantaran ke Taiwan pada pada 25 September lalu.

 

Katanya, kargo ke-50 itu merupakan pencapaian yang signifikan bagi Petronas, pelopor dalam industri sekaligus menunjukkan daya maju pengeluaran gas luar pesisir dengan penyelesaian FLNG sejak kargo FLNG pertama dihasilkan dari ladang gas Kanowit, luar pesisir Sarawak pada tahun 2017.

 

"Kami bangga meraikan kargo PFLNG SATU yang membuktikan kebolehpercayaan kelas dunia kemudahan FLNG pertama kami dan yang lebih penting lagi, komitmen tenaga kerja Petronas dalam menyediakan bekalan LNG tanpa henti kepada pelanggan kami.

 


"Pencapaian ini mencerminkan kepemimpinan kami dalam industri LNG, di mana kami terus memanfaatkan kelebihan penggerak pertama kami untuk menjana medan gas terpencil dan terdampar dengan penyelesaian FLNG. 

 

"Walaupun beroperasi dalam situasi mencabar terutamanya dengan pandemik COVID-19, PFLNG SATU telah menghasilkan dan mengeksport hampir 3.18 juta tan LNG dari ladang gas Kebabangan dan Kanowit sejak 2017, sambil mengekalkan standard Kesihatan, Keselamatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSSE) yang tinggi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

PFLNG SATU juga merupakan kemudahan FLNG pertama di dunia yang berjaya menghasilkan LNG dari dua medan gas terpencil ketika dipindahkan dari medan gas Kanowit ke lokasi sekarang di medan gas Kebabangan, luar pesisir Sabah, pada tahun 2019.

 

PFLNG SATU direka untuk beroperasi pada kedalaman air hingga 200 meter dengan kapasiti pengeluaran 1.2 juta tan LNG setahun. 

 

Pada masa ini, Petronas adalah satu-satunya syarikat tenaga global di dunia yang memiliki dan mengendalikan dua kemudahan FLNG. -DagangNews.com