Petronas Carigali umum 6 penemuan minyak dan gas di Sarawak | DagangNews Skip to main content

Petronas Carigali umum 6 penemuan minyak dan gas di Sarawak

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Julai - Petronas Carigali Sdn Bhd, anak syarikat Petronas, telah mengumumkan enam penemuan minyak dan gas di lima blok di luar pantai Sarawak, Malaysia.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, Petronas berkata penemuan itu dilakukan di Telaga Gedombak di Blok SK306 dan telaga Mirdanga di Blok SK411 (di wilayah Balingian), telaga Sinsing di Blok SK313, telaga Machinchang dan Pangkin di Blok SK301B, dan telaga Kalung Emas di Blok SK315 (di wilayah West Luconia).

 

Menurutnya, penemuan tersebut berpunca daripada kumpulan medan minyak baharu dan sedia ada serta menunjukkan tahap bahan cemar yang rendah.

 

Petronas berkata penemuan itu dicapai susulan aktiviti penggerudian penerokaan domestik intensif dimulakan pada penghujung 2022 yang turut membawa kepada penemuan Nahara-1 pada tahun itu di Blok SK306 sekali gus menjadi penemuan minyak penting oleh Petronas Carigali dalam dekad yang lalu.

 

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Datuk Adif Zulkifli berkata rentetan penemuan itu jelas menunjukkan potensi penerokaan yang masih belum diterokai di lembangan Malaysia, menantikan syarikat yang bersedia menggunakan cara baharu dan inovatif.

 

 

Datuk Adif Zulkifli
Datuk Adif Zulkifli

 

 

“Kami berharap ini akan memberi dorongan kepada lebih banyak syarikat untuk mengambil bahagian dan melabur dalam sektor huluan Malaysia, terutamanya dalam bidang penerokaan,” tambahnya.

 

Menurut beliau, pencapaian itu juga disebabkan pendekatan ‘penjelajahan berkelompok’ inovatif Petronas Carigali iaitu gaya pencarian unik, sesuai untuk wilayah geologi yang sangat matang.

 

Sementara itu, Naib Presiden Eksplorasi Petronas, Mohd Redhani Abdul Rahman berkata menbambah, “Penemuan tersebut adalah hasil daripada ketersediaan pasukan penerokaan untuk mencabar norma dan menentang prinsip yang telah lama wujud.

 

“Kejayaan awal kami ini menggalakkan kami lagi dan kami akan terus meningkatkan usaha,” ujar beliau.

 

Melangkah ke hadapan, Petronas Carigali akan menggunakan pendekatan tersebut dalam usaha penerokaannya di Malaysia.

 

Dengan tumpuan yang mendalam untuk memastikan keselamatan tenaga sambil menyokong peralihan tenaga, syarikat itu berhasrat memanfaatkan kepakaran dan tekniknya untuk terus memacu pertumbuhan dan inovasi. - DagangNews.com