Petronas Chemicals meterai MoU dengan KDEB Waste Mgmt dan One Biosys bekal sisa plastik | DagangNews Skip to main content

Petronas Chemicals meterai MoU dengan KDEB Waste Mgmt dan One Biosys bekal sisa plastik

MoU ini juga merangkumi kajian kebolehlaksanaan bersama bagi menilai daya maju komersial pembinaan kemudahan pengasingan sisa di Malaysia untuk memastikan pengasingan sisa plastik yang lebih berkesan.

KUALA LUMPUR 18 Mac – Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan KDEB Waste Management (KDEBWM) dan One Biosys Sdn Bhd bagi pembekalan sisa plastik dari tapak pelupusan sampah serta penilaian potensi kerjasama untuk membina kemudahan pengasingan sisa di Malaysia.

 

MOU tersebut merangkumi antaranya, KDEBWM dan One Biosys akan membekalkan sisa plastik yang terdiri daripada polietilena (PE), polipropilena (PP) serta polietilena terephthalate (PET) kepada PCG untuk pengeluaran produk sirkular bagi pembungkusan makanan serta aplikasi dalam penjagaan kesihatan, isi rumah dan perindustrian.

 

Selain itu, MoU ini juga merangkumi kajian kebolehlaksanaan bersama bagi menilai daya maju komersial pembinaan kemudahan pengasingan sisa di Malaysia untuk memastikan pengasingan sisa plastik yang lebih berkesan.

 

Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Ir. Mohd Yusri berkata, pihaknya teruja untuk memeterai jalinan kerjasama dengan KDEBWM dan One Biosys. Peralihan kepada ekonomi pekeliling memerlukan penyelesaian baharu untuk menangani jurang dalam rantaian nilai plastik - daripada pengurusan sisa yang lebih baik kepada meningkatkan daya maju ekonomi penyelesaian kitar semula.

 

''Kerjasama ini merupakan langkah seterusnya bagi kami merealisasikan aspirasi untuk menjadi rakan penyelesaian dalam menangani pencemaran plastik di Malaysia selepas memeterai kerjasama kami dengan Plastic Energy Ltd pada tahun 2019 bagi mewujudkan kemudahan untuk menukar sisa plastik campuran yang tercemar, berkualiti rendah kepada minyak pirolisis.

 

''Dengan MOU ini, kami dapat mempercepatkan lagi inisiatif ke arah ekonomi pekeliling dalam memastikan penggunaan dan pengeluaran plastik yang mampan," ujarnya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menandatangani MoU bagi pihak PCG ialah Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof, manakala KDEBWM diwakili oleh Pengarah Urusan, Ramli Mohd Tahir dan One Biosys oleh Pengarah Eksekutif, Dr. Muhammad Yani.


 

pcg

 

Sementara itu, Ramli Mohd Tahir berkata, KDEBWM sentiasa terbuka kepada kerjasama yang akan menyumbang secara mampan kepada ekonomi dan alam sekitar.

 

''Kami berbangga untuk bekerjasama dengan PCG, yang merupakan anak syarikat Petronas bagi inisiatif yang kami harap akan menjadi tunggak kepada ekonomi pekeliling di Malaysia," katanya.

 

KDEBWM adalah anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) yang diamanahkan untuk menguruskan kutipan sisa domestik, pembersihan awam dan sisa pukal di Industri, Komersial dan Institusi serta pembersihan taman awam dengan menguruskan 12 majlis perbandaran sekitar Selangor, Malaysia.

 

Sementara itu, One Biosys merupakan sebuah syarikat yang berpangkalan di Malaysia dengan kepakaran dalam bidang persekitaran-eko khususnya kepada pemulihan dan kejuruteraan bahan melalui sistem mikrobiologi dan teknologi nano, produk dan perkhidmatan kejuruteraan ekosistem.


 

pcg

 

Teknologi ini membolehkan pemisahan hampir semua jenis bahan sisa organik campuran heterogen dan efluen, daripada sisa segar dan sisa warisan di tapak pelupusan sampah, sisa pertanian, bahan larut lesap (leachate) dan biopepejal, kepada produk berharga seperti mineral organik yang sesuai digunakan untuk pertanian serta bahan boleh kitar semula campuran kering.

 

Dr. Muhammad Yani berkata, One Biosys berbesar hati kerana dipilih bekerjasama dengan PCG dalam usaha untuk menjadikan bumi tempat yang lebih baik, khususnya dakam mewujudkan persekitaran yang lebih sihat untuk mencapai matlamat kolektif syarikat untuk Menghijaukan Masa Hadapan. - DagangNews.com