Petronas Chemicals terus berdepan cabaran pada 2024, harga minyak, perubahan subsidi antara faktor - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Petronas Chemicals terus berdepan cabaran pada 2024, harga minyak, perubahan subsidi antara faktor - MIDF Research

Industri petrokimia akan terus berdepan cabaran pada 2024 susulan harga minyak dunia dan ekonomi global yang tidak menentu. / Gambar hiasan Invest In Pahang
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 27 Feb - MIDF Research menjangkakan pertumbuhan yang lebih perlahan untuk industri petrokimia pada tahun 2024 antaranya disebabkan harga minyak dunia dan bahan mentah yang tidak stabil di samping ketidaktentuan ekonomi global.

 

Menurut firma penyeldidikan itu, turut menjadi penyebab ialah faktor dalaman iaitu perubahan kepada dasar kerajaan dan subsidi dan peralihan pengguna kepada produk lebih hijau.

 

Sehubungan itu, katanya, anggaran pendapatan Petronas Chemicals Group untuk tahun kewangan 2024 (FY24) dan FY25 disemak semula dengan dikurangkan masing-masing sebanyak -33% dan -32%, selaras dengan keputusan FY23.

 

"Dari sudut positif, kami menjangkakan prestasi yang lebih baik untuk Petronas Chemicals dalam separuh kedua 2024 (2H24) berikutan jangkaan peningkatan dalam perbelanjaan pengguna tempatan dan serantau untuk produk petrokimia dan peningkatan permintaan untuk bahan kimia khusus.

 

"Selain itu, kami menjangkakan cabaran pada sektor petrokimia akan kekal pada 2024, sementara menunggu pergerakan harga Brent yang menggalakkan dan pemulihan permintaan untuk petrokimia di peringkat domestik dan serantau," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Petronas Chemicals menjunam 73% kepada RM1.7 bilion pada FY23, isytihar dividen 5 sen sesaham

 

pet

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, pendapatan FY23 Petronas Chemicals berada di bawah unjuran pihaknya pada 78% daripada anggaran tahun penuh.

 

Justeru, mengambil kira cabaran industri petrokimia, saranan 'Neutral' dikekalkan dengan menyemak semula harga sasaran (TP) Petronas Chemicals kepada RM7.18 sesaham daripada RM7.16 sesaham.

 

"Kami menjangkakan masalah sama untuk pasaran petrokimia dalam masa terdekat. Risiko tekanan inflasi, harga yang tidak menentu dan persaingan dengan pengeluar kimia lain boleh memberi kesan kepada jualan Petronas Chemicals  dan penggunaan loji. 

 

"Bagaimanapun, kami meneruskan pendirian konservatif kami untuk Petronas Chemicals dalam tempoh terdekat. Kami menjangkakan prestasi yang lebih baik untuk Petronas Chemicals, berikutan ramalan ekonomi yang lebih baik pada suku akan datang dan harga minyak yang lebih stabil pada 2024," jelasnya.- DagangNews.com