Petronas, CNOOC meterai MoU keselamatan & penyelesaian tenaga bersih | DagangNews Skip to main content

Petronas, CNOOC meterai MoU keselamatan & penyelesaian tenaga bersih

Petronas, CNOOC

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Mac. - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat pengeluar minyak dan gas luar pesisir terbesar di China, China National Offshore Oil Corporation (CNOOC) bagi mencapai kerjasama yang lebih erat. 

 

Petronas dalam satu kenyataan berkata, MoU berkenaan mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua pihak khususnya berkaitan dengan gas asli cecair (LNG) dan projek huluan ke arah merialisasikan impian berkaitan keselamatan tenaga dan penyelesaian tenaga bersih.

 

"Melalui kolaborasi berkenaan, kedua-dua pihak akan meningkatkan kerjasama dalam LNG, projek penerokaan dan pengembangan huluan, penapisan, perkhidmatan ladang minyak & kejuruteraan, bahan kimia khas pelincir serta tenaga boleh diperbaharui," jelas Petronas.

 

Kerjasama Petronas dan CNOOC itu dtandatangani oleh Naib Presiden Kanan Strategi Korporat Petronas, Mazuin Ismail dan Naib Presiden CNOOC, Hua Jian dalam satu acara maya.

 

Majlis tersebut turut disaksikan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas dan Tenaga Baharu Petronas, Adnan Zainal Abidin dan Presiden Kumpulan CNOOC, Li Yong.

 

Selain bekalan LNG, Petronas dan CNOOC turut bekerjasama meningkatkan penggunaan gas asli sebagai bahan bakar laut yang lebih bersih melalui penyelesaian 'LNG bunkering' bagi menyokong peraturan International Maritime Organization untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau daripada kapal.

 

Dalam segmen LNG, Petronas dan CNOOC menjalin hubungan bermula 2006 melalui kerjasama perjanjian pembekalan LNG selama 25 tahun untuk lebih daripada 3.0 juta tan setiap tahun bersama LNG Co, Ltd yang dimiliki 45% oleh CNOOC.

 

Dalam aspek huluan pula, Petronas pada 2019 melalui anak syarikatnya iaitu PC Carigali Mexico Operations S.A de C.V memperoleh 30% ekuiti Block 4 yang terletak di perairan Perdido Foldbelt yang dikendalikan oleh CNOOC. - DagangNews.com