Petronas dijangka sumbang RM59 bilion kepada kerajaan tahun ini | DagangNews Skip to main content

Petronas dijangka sumbang RM59 bilion kepada kerajaan tahun ini

Pada 2021, Petronas menyumbang RM48.2 bilion dalam bentuk dividen, cukai dan pembayaran tunai kepada kerajaan

KUALA LUMPUR 22 Julai - Syarikat minyak negara, Petronas dijangka menyumbang kepada dana kerajaan sebanyak RM59 bilion (AS$13.25 bilion) tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

 

Dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat, Mustapa berkata, sumbangan daripada Petronas pada 2022 dianggarkan sekitar RM55 bilion hingga RM59 bilion, termasuk dividen, cukai, pembayaran tunai petroleum dan duti eksport.

 

"Anggaran itu berdasarkan unjuran Petronas dengan andaian harga minyak mentah Brent kekal pada AS$100.03 setong dan pengeluaran kekal tidak terganggu sepanjang tahun," katanya.

 

Petronas mengunjurkan jumlah keuntungan selepas cukai sekitar RM75-80 bilion tahun ini, tambah Mustapa.

 

Sumbangan Petronas merupakan sumber pendapatan penting bagi kerajaan persekutuan, yang menjangka membelanjakan rekod RM77.3 bilion (AS$17.37 bilion) dalam subsidi dan bantuan tunai tahun ini untuk membantu orang ramai menangani inflasi.

 

Pada 2021, syarikat itu menyumbang RM48.2 bilion dalam bentuk dividen, cukai dan pembayaran tunai kepada kerajaan, pemegang saham tunggalnya.

.

Minyak mentah Brent didagangkan pada AS$104.89 setong pada Jumaat. - DagangNews.com