Petronas Gas membekalkan gas wap kepada syarikat Jepun | DagangNews Skip to main content

Petronas Gas membekalkan gas wap kepada syarikat Jepun

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Petronas Gas Berhad (PGB) membekalkan gas wap kepada syarikat Jepun, Polyplastics Asia Pacific Sdn. Bhd. (PAP) selepas memeterai satu perjanjian tahun lalu. 

 

Pada April 2019, PGB dan PAP memeterai dua Perjanjian Jual Beli jangka panjang secara berasingan. 

 

Perjanjian pertama dicapai menerusi pembekalan baharu bagi gas wap manakala yang kedua bagi melanjutkan bekalan tenaga elektrik antara kedua-dua syarikat. 

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PGB, Kamal Bahrin Ahmad berkata, syarikat menyasarkan untuk menjadi rakan kerjasama penyelesaian terbaik kepada para pelanggannya dan pada masa sama mengekalkan prestasi operasi yang baik dalam semua aset syarikat di seluruh negara. 

 

"Rekod kami yang cemerlang dalam kebolehpercayaan bekalan kepada pelanggan sedia ada dan juga harga yang kompetitif telah menjayakan perkongsian jangka panjang ini," katanya kenyataan hari ini. 

 

Gas wap ini dijanakan bersama dengan tenaga elektrik daripada loji yang berkapasiti 350MW dengan kecekapan tinggi dan bertaraf dunia di Gebeng, Pahang. 

 

Ia telah menjadi pemacu utama sejak 1999 dalam menyediakan penyelesaian utiliti secara menyeluruh dan menawarkan tenaga yang kompetitif dan tarif gas wap kepada portfolio syarikat pelanggannya. 

 

Selain Gebeng, PGB juga mempunyai operasi yang sama di Kerteh, Terengganu bagi memenuhi permintaan Kompleks Petrokimia Bersepadu Kerteh (KIPC). 

 

Sementara itu, Pengarah Urusan PAP, Yoshimitsu Shirai berkata, penerimaan bekalan gas wap buat kali pertama menerusi infrastruktur milik PGB itu amat penting dalam fasa baharu syarikat untuk menyediakan perkhidmatan kepada para pelanggannya. 

 

PAP merupakan anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya Polyplastics Limited Company di Jepun dan ditubuhkan pada 1997. Ia terlibat dalam perniagaan kejuruteraan plastik dan merupakan syarikat bertaraf multinasional khususnya inovasi dan nilai baharu. 

 

PGB ditubuhkan pada 1983 dan merupakan anak syarikat milik penuh Petronas yang disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia pada 4 September 1995. 

 

Syarikat merupakan peneraju dalam infrastruktur gas dan utiliti dengan perniagaan teras dalam pemprosesan gas, transmisi, regasifikasi dan utiliti. - DagangNews.com