Petronas, JAPEX meterai MOU teroka peluang dalam teknologi CCS | DagangNews Skip to main content

Petronas, JAPEX meterai MOU teroka peluang dalam teknologi CCS

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 28 Jan -  Petronas memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Japan Petroleum Exploration Co Ltd (JAPEX) untuk meneroka peluang dalam teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) termasuk penyelesaian penyimpanan karbon dioksida (CO2)  di Malaysia. 

 

Petronas berkata, di bawah MoU itu, Petronas dan JAPEX akan melaksanakan aktiviti pematangan teknikal untuk memanfaatkan penyelesaian CCS yang berpotensi, selain menilai kaedah penangkapan, penyimpanan dan pengangkutan yang optimum, serta anggaran pelepasan, volum tangkapan dan kaedah pemantauan CO2 yang disimpan di bawah tanah.

 

"Kajian bersama ini akan meliputi pertimbangan kaedah untuk menangkap dan mengangkut CO2 dari Kompleks LNG Petronas di Bintulu dan dari luar Malaysia sebagai kemungkinan masa depan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan  Petronas, Adif Zulkifli berkata, kerjasama ini membolehkan Petronas memanfaatkan pengalaman JAPEX dalam Projek Demonstrasi CCS Tomakomai, projek CCS rantaian penuh pertama Jepun, yang dikendalikan oleh Japan CCS Co Ltd. 

 

“Kami yakin ia akan memberi sumbangan berharga dalam Kajian Kematangan Teknikal untuk merealisasikan potensi CCS di negara ini,” katanya. 

 

Petronas berkata, CCS adalah gabungan teknologi sedia ada yang menangkap dan menyimpan CO2 jauh di bawah tanah, supaya ia tidak dipancarkan ke atmosfera. 

 

“CO2 diasingkan daripada gas yang dihasilkan oleh proses perindustrian seperti pengeluaran keluli dan simen atau daripada pembakaran bahan api fosil, diangkut ke lokasi serta boleh disimpan dalam repositori geologi jauh di bawah tanah, seterusnya mengurangkan pelepasan ke atmosfera. 

 

“Ini adalah sebahagian daripada usaha Petronas dalam membina portfolio berdaya tahan dan mampan yang menyokong peralihan ke arah masa depan karbon yang lebih rendah, melalui usaha kerjasama dengan rakan kongsi industri,” katanya.   

 

Sementara itu dalam perkembangan lain, Petronas dilaporkan menawarkan 14 blok cari gali, enam kluster Peluang Sumber Ditemui (DRO) dan satu kluster Aset Hayat Lewat (LLA) dalam Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2022 yang dilancarkan pada Khamis. 

 

Menurut Petronas, pelancaran bertemakan ‘Your Advantaged Energy is Here’ itu telah dihadiri secara fizikal oleh lebih 90 bakal pelabur selain lebih 1,300 pelabur sedia ada dan berpotensi menerusi penstriman langsung dari Amerika Utara, Eropah, Timur Tengah dan Asia Pasifik. 

 

Sebanyak 14 blok cari gali yang ditawarkan itu terletak di wilayah geologi prolifik dalam lembangan Melayu, Sabah dan Sarawak, jelasnya dalam kenyataan. -DagangNews.com