Petronas komited bayar dividen RM40 bilion kepada kerajaan tahun ini | DagangNews Skip to main content

Petronas komited bayar dividen RM40 bilion kepada kerajaan tahun ini

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan lawatan kerja ke Petronas buat kali pertama semenjak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada November 2022.

KUALA LUMPUR 7 Jun - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) komited untuk membayar dividen RM40 bilion kepada kerajaan tahun ini, kata presiden dan ketua pegawai eksekutifnya Tengku Tan Sri Muhammad Taufik.

 

Syarikat minyak dan gas negara mempunyai kapasiti untuk membayar jumlah ini, walaupun harga minyak mentah semasa dijangka lebih rendah daripada yang dicatatkan tahun lepas, tambahnya.

 

Tengku Muhammad Taufik berkata RM40 bilion itu lebih tinggi daripada jumlah awal RM35 bilion.

 

"Kami berada dalam kedudukan yang baik. Kami telah memasukkan (RM40 bilion) dalam pembayaran berjadual yang dipersetujui," katanya ketika mengulas komitmen dividen Petronas di tengah-tengah persekitaran yang mencabar tahun ini.

 

Tengku Muhammad Taufik mendedahkan perkara itu semasa taklimat bersama media menjelang pengumuman keputusan suku pertama Petronas hari ini.


 

Tengku Tan Sri Muhammad Taufik

 


Penganalisis pasaran menyifatkan dividen RM40 bilion sebagai munasabah.

 

Petronas mampu membayarnya walaupun terdapat penurunan ketara dalam harga minyak mentah.

 

Ini berikutan operasi aliran tunainya yang stabil, yang akan menyokong syarikat minyak dan gas negara itu dalam memenuhi komitmennya tanpa menjejaskan operasinya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Petronas berhati-hati dengan prospek FY2023 selepas keuntungan suku tahunan meningkat hanya 2% tahun atas tahun

 

Pada 2022, Petronas membayar dividen berjumlah RM50 bilion, termasuk dividen tambahan RM25 bilion.

 

Ini selepas syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih terbesar dalam sejarah, berjumlah RM101.6 bilion bagi tahun berakhir 31 Dis 2022, manakala hasil kumpulan juga mencecah paras tertinggi sepanjang masa sebanyak RM375.3 bilion. - DagangNews.com