Petronas lancar dua filem perayaan Tahun Baharu Cina, angkat tradisi 'Hui Niang Jia' | DagangNews Skip to main content

Petronas lancar dua filem perayaan Tahun Baharu Cina, angkat tradisi 'Hui Niang Jia'

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 31 Jan - Buat julung-julung kalinya, Petronas melancarkan dua filem web perayaan sempena Tahun Baharu Cina yang mengangkat tema kepentingan mentaati tradisi berdasarkan kisah sebenar sebuah keluarga Tionghua di negara ini.

 

Berjudul ‘To Those Who Wait To Celebrate’ and 'When The Heart Calls', kisah kedua-dua filem berkenaaan mempunyai hubung kait yang digarap daripada dua perspektif berbeza.

 

Diarahkan oleh sutradara terkenal, Dick Chua, filem ini mengisahkan tradisi sambutan tahun baharu membabitkan pasangan suami isteri yang mana hari pertama perayaan tersebut perlu diraikan di rumah keluarga suami.

 

Hanya pada hari berikutnya barulah sambutan akan dilakukan di rumah ibu bapa isteri dan tradisi ini dikenali sebagai 'Hui Niang Jia'.

 

Pengurus Besar Perhubungan Strategik Kumpulan dan Komunikasi, Fazli Ibrahim berkata, kedua-dua filem itu menekankan kepentingan menghormati tradisi dan disampaikan dengan cara menyentuh hati semua.

 

"Menerusi filem-filem tersebut yang sekali lagi mencerminkan warisan penceritaan ikonik Petronas, ia diharapkan dapat membantu meningkatkan kefahaman mengenai masyarakat Malaysia yang cukup kaya dengan adat dan tradisi," katanya.

 

Filem web perayaan Petronas boleh ditonton mulai 31 Januari 2024 di laman Facebook PETRONAS dan saluran YouTube.

 

film
Majlis pelancaran dua filem perayaan Tahun Baharu Cina Petronas yang diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini.

 

Majlis pelancaran filem tersebut yang diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini turut dihadiri Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Petronas, Siti Azlina Abdul Latif.

 

Turut dilancarkan pada majlis itu ialah Inisiatif Impian Petronas sempena Ulang Tahun Petronas ke-50.

 

"Sebagai sebuah syarikat yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia, Petronas bergabung bersama masyarakat untuk menjadikan 50 impian menjadi kenyataan semasa perayaan sepanjang tahun 2024. 

 

"Antaranya memenuhi hasrat kanak-kanak yang mengalami masalah kesihatan kritikal, menunaikan impian remaja cacat fizikal untuk bermain bola keranjang dan menubuhkan sudut pembelajaran berkaitan Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di sekolah luar bandar," katanya.

 

Nantikan kisah PETRONAS 50 Dreams bermula pada hari Tahun Baru Cina.- DagangNews.com