Petronas Lubricants, B.Grimm bekerjasama bangunkan pasaran minyak pelincir di Thailand | DagangNews Skip to main content

Petronas Lubricants, B.Grimm bekerjasama bangunkan pasaran minyak pelincir di Thailand

KUALA LUMPUR 12 Dis - Petronas Lubricants International Sdn. Bhd. (PLI) dan B.Grimm Technologies Group menjalinkan kerjasama bagi memanfaatkan peluang  membangunkan pasaran minyak pelincir di Thailand.

 

Kerjasama itu berfungsi sebagai batu loncatan kepada B.Grimm dan PLI pada masa hadapan dalam pelbagai projek, seperti rumusan tenaga baharu di Thailand dan pasaran Asia Tenggara.

 

B.Grimm merupakan konglomerat multinasional yang aktif dalam tenaga, perniagaan perindustrian, penjagaan kesihatan, penyelesaian digital, gaya hidup dan pelaburan modal.

 

Sementara itu, PLI merupakan cabang pembuatan dan pemasaran pelincir global Petronas, kumpulan tenaga global Malaysia.

 

Perkongsian antara B.Grimm dan PLI menandakan satu langkah penting ke arah menerima peralihan tenaga dan merebut peluang pertumbuhan di Thailand dan Asia Tenggara. 

 

Sebelum ini, PLI dan PT Kilang Pertamina Internasional memeterai perjanjian kajian bersama bagi meneroka kemungkinan membangunkan loji asas minyak pelincir greenfield baharu di Unit Penapisan (RU) IV Cilacap, Jawa Tengah.

 

Kerjasama strategik itu menyaksikan kedua-dua syarikat menjalankan kajian kemungkinan teknikal dan terperinci, yang dijangka memenuhi permintaan pasaran Indonesia serta pasaran serantau yang semakin berkembang termasuk China dan Asia Tenggara, dengan keputusan pelaburan dijangka selesai menjelang 2025.

 

Kilang penapisan itu mampu memproses bahan mentah daripada RU IV Cilacap sedia ada, menghasilkan sehingga 800 tan/hari minyak asas pelincir bermutu tinggi serta produk tambahan lain seperti Bahan Api Diesel, Naphtha dan gas petroleum cecair.- DagangNews.com