Petronas memulakan pengeluaran gas pertama di Medan Kasawari | DagangNews Skip to main content

Petronas memulakan pengeluaran gas pertama di Medan Kasawari

Gambar hiasan Petronas.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Petronas memulakan pengeluaran gas pertama di Medan Kasawari yang terletak di Blok SK316, kira-kira 200 kilometer dari pesisir Sarawak baru-baru ini dengan kadar aliran awal sebanyak 200 juta kaki padu standard sehari (MMscf/d).

 

Blok SK316 dioperasikan oleh Petronas Carigali Sdn Bhd yang memegang kepentingan 90%, manakala baki 10% dipegang oleh Exploration and Production Malaysia Venture (EPMV).

 

Ditemui pada tahun 2011, medan Kasawari adalah sumber bahan mentah penting untuk Kompleks LNG Petronas di Bintulu dan dalam menangani permintaan domestik gas yang semakin meningkat. 

 

Menurut Petronas, medan ini mengandungi kira-kira 10 trilion kaki padu sumber gas asli, dengan kadar jualan gas sebanyak 545 juta kaki padu standard sehari (MMscf/d).

 

"Projek Pembangunan Medan Gas Kasawari (GFD) merangkumi Platform Pemprosesan Pusat (CPP), Platform Pembakaran dan Platform Kepala Telaga (WHP), kesemuanya dihubungkan ke CPP melalui jambatan. 

 

"Gas dari medan Kasawari dieksport ke platform riser baru di pusat pengeluaran E11 melalui saluran paip keluli karbon sepanjang 81 km untuk penghantaran gas selanjutnya kepada pelanggan di Bintulu," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Tambah Petronas, kerja-kerja fabrikasi untuk platform dan jambatan Kasawari dilakukan secara tempatan oleh Malaysia Marine & Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB) di Pasir Gudang dan Ocean Might Sdn Bhd (OMSB) di Kuching. 

 

CPP untuk medan ini tersenarai dalam Malaysia Book of Records sebagai Platform Struktur Laut Terberat, dengan berat keseluruhan sebanyak 53,893 metrik tan (MT).

 

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Datuk Ir. Bacho Pilong, berkata, Kasawari adalah bukti kemampuan tempatan dalam melaksanakan projek berskala besar. 

 

Katanya, pencapaian ini melibatkan lebih daripada 450 kontraktor dan pembekal tempatan yang dicapai dalam 26.6 juta jam kerja.

 

“Kami berbangga dengan pencapaian penting ini, yang diperoleh dengan sokongan kuat daripada Kerajaan Persekutuan dan Negeri, serta kerjasama antara kontraktor susunan petroleum kami dan penyedia perkhidmatan tempatan,” jelasnya.

 

Petronas komited memastikan bekalan minyak dan gas yang optimum dan lestari untuk keselamatan tenaga negara sambil mengejar usaha yang teliti ke arah mencapai operasi rendah karbon dan emisi rendah, selaras dengan matlamat untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050. - DagangNews.com