Petronas mungkin kehilangan sebahagian hasil kepada Petros, perbelanjaan modal terjejas -RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Petronas mungkin kehilangan sebahagian hasil kepada Petros, perbelanjaan modal terjejas -RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Julai - Syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mungkin kehilangan sebahagian daripada hasil berikutan pelantikan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) sebagai pengagregat gas tunggal di Sarawak, kata RHB Investment.

 

Katanya, impak pendapatan kepada Petronas kekal tidak menentu. Bergantung kepada kerugian, peralihan itu boleh menjejaskan keupayaannya bagi mengekalkan perbelanjaan modal jangka panjang walaupun kunci kira-kira semasanya kekal kukuh serta komitmen dividen kepada kerajaan persekutuan. 

 

 

"Kami menjangkakan berlaku beberapa gangguan operasi dalam masa terdekat sebelum berlaku lebih banyak kejelasan atau penyelesaian dicapai.

 

"Bagaimanapun, kami percaya, akhirnya kedua-dua pihak mahu memaksimumkan pengeluaran, terutamanya apabila harga minyak dijangka kekal stabil," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Segmen gas menyumbang kira-kira RM101 bilion, atau 30% kepada pendapatan Petronas pada 2023. 

 

Petronas juga menghantar 403 kargo gas asli cecair (LNG) daripada kompleks LNG dan 38 kargo LNG daripada dua LNG terapung (FLNG) dan 2.2 bilion kaki padu standard sehari purata jumlah gas jualan di Semenanjung Malaysia.

 

Pada 13 Mei 2024, Sarawak mengumumkan bahawa Petros akan mengambil alih peranan Petronas dalam semua aktiviti perdagangan gas asli di negeri itu berkuat kuasa 1 Julai 2024. 

 

Petros dan Petronas juga bersetuju menandatangani perjanjian muktamad di mana Petronas akan mengakui Petros sebagai pengagregat gas tunggal.

 

Perjanjian itu membolehkan Petros memuktamadkan perjanjian pembelian gas dengan semua pengeluar huluan yang terlibat dalam pengeluaran gas asli di Sarawak dan perjanjian penjualan gas dengan semua pembeli hiliran, asing atau domestik.

 

Akibatnya, Petronas akan menghentikan semua aktiviti jual beli produk di negeri itu dan menyerahkan rangkaian dan sistem pengedaran gas aslinya kepada Petros.

 

Perniagaan gas merupakan 22% daripada perbelanjaan modal domestik Petronas, dan pemindahan kepada Petros mungkin membawa kepada pemotongan "lebih ketara" dalam segmen itu, kata RHB Investment.

 

Sekiranya Petronas memutuskan untuk mengurangkan dengan ketara, projek penerokaan dan lapangan hijau berkemungkinan terdapat kesan lebih besar, katanya. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, aktiviti penggerudian domestik, kerja fabrikasi luar pesisir, sambungan dan pentauliahan dan permintaan kapal sokongan luar pesisir yang menyokong projek penggerudian akan dikurangkan dengan sewajarnya.

 

"Projek dan aktiviti penyelenggaraan kawasan minyak matang akan memberi impak lebih kecil, memandangkan kepentingannya untuk mengekalkan pengeluaran semasa bagi tujuan penjanaan aliran tunai operasi semasa," kata RHB Investment.

 

Firma penyelidikan itu menyukai syarikat perkhidmatan huluan dengan pendedahan lebih besar berkaitan dengan penyelenggaraan dengan Dayang Enterprise Holdings Bhd sebagai pilihan utamanya untuk ruang tersebut. 

 

RHB Investment juga menyukai Dialog Group Bhd dan Yinson Holdings Bhd.

 

Secara keseluruhannya, firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor itu. - DagangNews.com