Petronas, Phoenix Petroleum jalin kerjasama terokai peluang perniagaan di Filipina | DagangNews Skip to main content

Petronas, Phoenix Petroleum jalin kerjasama terokai peluang perniagaan di Filipina

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Mac - Petronas dan Phoenix Petroleum telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk bersama-sama meneroka peluang di Filipina dalam bidang perniagaan pemasaran hiliran dan penyelesaian teknologi berkaitan.

 

Di bawah MoU tersebut, kedua-dua pihak akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan bersama untuk membawa kerjasama itu ke fasa pelaksanaan seterusnya.

 

Phoenix Petroleum merupakan firma minyak bebas Filipina yang tersenarai di Philippine Stock Exchange.

 

Menurut satu kenyataan bersama hari ini, kerjasama itu akan menyaksikan kedua-dua syarikat bersatu agar berpotensi mencipta pengalaman unik, memanfaatkan bahan api berkualiti tinggi dan penyelesaian digital yang inovatif.

 

Jika direalisasikan, kerjasama itu akan memberi Phoenix Petroleum akses kepada penawaran pemasaran berjenama Petronas, termasuk teknologi bahan api dan bendalirnya, sambil membenarkan Petronas mengembangkan jejaknya ke Filipina.

 

Naib Presiden Penapisan, Pemasaran dan Perdagangan Perniagaan Hiliran Petronas, Ahmad Adly Alias teruja dengan prospek untuk menyampaikan pengalaman bahan api yang lebih tinggi kepada pelanggan di Filipina.

 

“Daripada bahan api diperoleh daripada Penyelesaian Teknologi Bendalir kepada penyelesaian digital dan mampan kami yang canggih, kami akan terus memperbaharui rangkaian tawaran untuk memberikan pengalaman lancar kepada lebih ramai pengguna jalan raya di seluruh dunia,” katanya.

 

Sementara itu, Presiden Phoenix Petroleum, Henry Albert Fadullon berkata pihaknya telah melihat beberapa keberkesanan dalam menghimpunkan yang terbaik daripada hasil kerjasama dan perkongsian.

 

“Dengan teknologi dan kepakaran Petronas sebagai pengendali rangkaian runcit bahan api terbesar di Malaysia, digabung dengan pengetahuan dan pengalaman mendalam Phoenix dari segi pasaran tempatan, sinergi ini menjanjikan pengalaman baharu kepada pelanggan kami,” ujar beliau dalam kenyataan yang sama.

 

MoU tersebut menandakan kerjasama kedua antara kedua-dua syarikat selepas perjanjian pertama mereka pada 2017 apabila Phoenix Petroleum memperoleh keseluruhan perniagaan LPG Petronas di Filipina yang kini dimiliki oleh anak syarikat syarikat itu, Phoenix LPG Philippines, Inc.

 

Petronas mempunyai kehadiran di lebih 90 negara termasuk tapak runcit terbesar di Malaysia dengan lebih daripada 1,000 stesen manakala Phoenix Petroleum ialah syarikat dengan hampir 700 stesen runcit di seluruh Filipina dan telah mengembangkan perniagaannya ke Singapura dan Vietnam. -DagangNews.com