KUALA LUMPUR 14 April – PC Ketapang II Ltd. (PCK2L), anak syarikat Petronas, telah menemukan hidrokarbon pertamanya dalam penggerudian telaga BTJTBT2 Bukit Tua Fasa-2B yang terletak di dalam Blok Ketapang, luar pesisir Jawa Timur, Indonesia.
Telaga BTJTB-T2 telah digerudi pada 30 September 2021 dengan kedalaman sasaran 1,890 meter. Pencapaian ini merupakan sebahagian daripada projek pembangunan keempat selepas Bukit Tua Fasa 1, Fasa 2A dan Fasa 3.
Projek ini menyasarkan untuk mengeluarkan 12,500 tong minyak bersamaan (boe) sehari dan 30 juta kaki padu standard (mmscf) gas sehari melalui lima telaga pembangunan.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Adif Zulkifli berkata, sebagai rakan kongsi tenaga dan penyelesaian yang progresif, pencapaian ini menunjukkan komitmen syarikat untuk menyediakan bekalan tenaga yang selamat dan boleh dipercayai ke Indonesia.
Katanya, projek Bukit Tua Fasa-2B hidrokarbon yang pertama akan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada sasaran Indonesia untuk mencapai satu juta
tong minyak sehari menjelang 2030.
Presiden Pengarah PCK2L, Yuzaini Md Yusof, berkata, pihaknya turut berbangga dengan keputusan yang positif sebagai komitmen penuh daripada semua pihak yang membawa kepada pencapaian ini.
''Kami mengucapkan terima kasih kepada SKK Migas, pihak-pihak berkuasa tempatan dan rakan kongsi kami atas sokongan padu mereka sepanjang projek ini,'' ujar beliau.
Petronas merupakan pengendali Blok Ketapang dan memegang 80 peratus kepentingan penyertaan menerusi dua anak syarikatnya, PC Ketapang II Ltd dan Petronas Carigali (Ketapang) Ltd, manakala baki 20 peratus lagi dipegang oleh PT Saka Ketapang Perdana.
Petronas juga merupakan pengendali di PSC Madura Utara II luar pesisir Jawa Timur dan sebuah usaha sama rakan kongsi dalam enam blok lain yang terletak di dalam dan luar pesisir di kawasan Sumatera, Natura Laut, Jawa Timur, dan juga Papua Barat. - DagangNews.com