Petronas rugi RM3.4 bilion pada suku ketiga | DagangNews Skip to main content

Petronas rugi RM3.4 bilion pada suku ketiga

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 27 Nov. - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) merekodkan kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM3.4 bilion pada suku tersebut berbanding keuntungan selepas cukai (PAT) pada suku ketiga 2019, RM7.4 bilion. 

 

Kerugian itu bagaimanapun lebih rendah berbanding suku kedua 2020 yang berjumlah RM21 bilion . 

 

Syarikat minyak itu dalam kenyataan hari ini berkata, kerugian itu disebabkan kumpulan merekodkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih rendah. 

 

Penyusutan itu juga disebabkan kerugian rosot nilai yang tinggi ke atas aset dan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi menyumbang kepada cukai aset tidak dapat ditolak dan prospek harga minyak dan gas yang rendah. 

 

Kumpulan merekodkan PAT berjumlah RM2.6 bilion tanpa mengambil kira kerugian rosot nilai. 

 

Pendapatan Petronas bagi suku ketiga berakhir 30 September 2020 juga menyusut 25% kepada RM41.1 bilion berbanding RM55.1 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan penurunan harga purata yang rendah bagi produk-produk utama. 

 

Pada suku berkenaan juga, EBITDA susut 26% kepada RM14 bilion berbanding RM18.8 bilion bagi tempoh sama 2019 sejajar dengan pendapatan yang lebih rendah dan diimbangi sebahagiannya dengan kos lebih rendah.

 

Sementara itu, bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2020 pula, pendapatan kumpulan susut 24% kepada RM134.7 bilion berbanding RM176.2 bilion untuk tempoh sama tahun lalu. 

 

EBITDA turut susut 41% kepada RM43.4 bilion daripada RM73.5 bilion setahun lalu. Ini menjadikan kumpulan merekodkan LAT sebanyak RM19.9 bilion dalam tempoh itu berbanding PAT, RM36.4 bilion bagi tempoh sama 2019. 

 

PAT yang tidak termasuk rosot nilai berada pada RM10.3 bilion, menyusut 74% daripada RM39.4 bilion untuk tempoh sama tahun lalu. 

 

Bagaimanapun, kumpulan menjana aliran tunai yang positif daripada aktiviti operasi (CFFO) berjumlah RM32.6 bilion, di sebalik keputusan yang lemah pada suku berkenaan, menurun 50% daripada RM64.6 bilion bagi tempoh sama 2019. 


 
Perbelanjaan modal pada tempoh itu juga berjumlah RM22.5 bilion, dengan kebanyakannya tertumpu kepada projek huluan.  


 
Jumlah aset turut menyusut kepada RM594.8 bilion setakat 30 September 2020 berbanding RM622.4 bilion pada 31 Disember 2019 disebabkan kerugian rosot nilai ke atas aset dalam tempoh itu. 

 

Ekuiti pemegang saham juga menyaksikan penurunan kepada RM337.2 bilion setakat 30 September 2020 berbanding RM389.1 bilion pada 31 Disember 2019. 

 

Keadaan ini disebabkan kerugian direkodkan pada tempoh itu dan juga dividen yang diisytiharkan kepada pemegang saham sebanyak RM34 bilion. 

 

Daripada jumlah itu, RM24 bilion dividen dibayar berdasarkan kepada prestasi kewangan 2019 manakala RM10 bilion adalah tambahan dividen yang diluluskan lembaga pengarah bagi membantu usaha menangani pandemik COVID-19. 

 

Nisbah gearan juga meningkat kepada 25.3% pada 30 September 2020 berbanding 19.4$ pada 31 Disember 2019. 

 

Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz
Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, setelah menghadapi tempoh 9 bulan yang mencabar, Petronas merekodkan sedikit peningkatan pada suku ketiga ini berbanding suku sebelumnya apabila perintah sekatan mula dilonggarkan dan aktiviti ekonomi kembali bergerak di seluruh dunia. 

 

Katanya, di tengah-tengah persekitaran operasi yang lancar, dengan kemunculan pandemik COVID-19 dan juga ketidaktentuan harga minyak yang berpanjangan, kumpulan mengambil langkah berhati-hati bahawa tahun ini akan kekal mencabar. 

 

"Kami menjangkakan prestasi kami akan terus dipengaruhi ketidaktentuan harga minyak disebabkan oleh wabak COVID-19 yang masih berlanjutan.

 

"Untuk itu, kami kekal fokus dengan langkah-langkah untuk membentuk semula portfolio, menyusun semula modal insan dan memberi tumpuan dalam menguruskan perniagaan dalam suasana yang sukar diramal dan berusaha ke arah strategi serampang 3 mata," katanya. 

 

Kumpulan menjangkakan prestasi pada suku terakhir tahun ini akan terus terkesan dengan persekitaran perniagaan yang mencabar. 

 

"Harga minyak rendah yang berlanjutan dan pemulihan permintaan yang sederhana dipengaruhi pandemik COVID-19 akan terus memberi cabaran kepada industri," katanya. - DagangNews.com