Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Nov. - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menyasarkan untuk mencapai Pelepasan Sifar Karbon Bersih menjelang 2050 sebagai sebahagian daripada pendekatan holistiknya ke arah keseimbangan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, Petronas akan memainkan peranan untuk menyediakan akses kepada kelestarian tenaga, selamat dan berpatutan kepada perniagaan dan komuniti.
Katanya, dunia ketika ini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang disebabkan oleh peralihan tenaga.
"Sehubungan itu, kumpulan komited untuk memenuhi matlamat ini dengan menyediakan tenaga lebih bersih dan penyelesaian yang mampu memberi manfaat kepada dunia yang kita diami dan juga para pelanggan kami," katanya dalam kenyataan hari ini.
Langkah Petronas itu sejajar dengan matlamatnya untuk memperkaya tenaga yang progresif dan sebagai rakan penyelesaian untuk melestarikan kehidupan masa depan.
Menerusi aspirasi itu, ia didokong oleh empat nilai utama di bawah Agenda Kelestarian Petronas yang mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat.
Nilai tersebut ialah Meneruskan Penciptaan Nilai, Memelihara Alam Sekitar, Impak Sosial Yang Positif dan Tanggungjawab Tadbir Urus menerusi rantaian nilai bersepadu.
Menurut Tengku Muhammad Taufik, dengan sasaran ditetapkan pada 2050, Petronas akan meneruskan usaha untuk mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) Skop 1 dan Skop 2 daripada asetnya dengan menambah baik operasi dan menerapkan teknologi yang inovatif.
"Petronas juga akan meneruskan usaha mencari jalan baharu bagi menghasilkan pendapatan melalui pelaburan berasaskan alam sekitar termasuk mewujudkan akses kepada tenaga yang lebih bersih," katanya.
Bagi melengkapi aspirasi tersebut, kumpulan juga melancarkan penjenamaan baharunya, Passionate About Progress yang menzahirkan komitmen syarikat untuk membangunkan kelestarian dan bersifat progresif.
"Ini akan menggambarkan pertumbuhan kumpulan yang dinamik dan aspirasi untuk mencapai kebaikan menerusi kerjasama dengan pihak berkepentingan, pelanggan dan rakan kerjasama," katanya. - DagangNews.com