Petronas, Schlumberger teroka peluang dalam kemampanan, digital, R&D | DagangNews Skip to main content

Petronas, Schlumberger teroka peluang dalam kemampanan, digital, R&D

KUALA LUMPUR 24 Mac - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Schlumberger WTA (Malaysia) Sdn. Bhd. (Schlumberger) untuk meneroka peluang dalam bidang kemampanan, digital dan internet pelbagai benda (IoT) serta projek penyelidikan dan pembangunan (R&D).

 

Berdasarkan kerjasama itu, kedua-dua pihak akan melaksanakan inisiatif kemampanan utama seperti penubuhan Pusat Kecemerlangan Penyerapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) merangkumi repositori data berasaskan awan untuk penyimpanan karbon dan teknologi pengasingan karbon dioksida di samping program pembangunan kompetensi dan pengurusan pelepasan.

 

Ini adalah sejajar dengan usaha Petronas untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penyelesaian CCS terkemuka di rantau ini.

 

Dalam kenyataan hari ini, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Adif Zulkifli berkata, Petronas dan Schlumberger telah menjalinkan perkongsian sejak sekian lama dan bersedia untuk memanfaatkan keupayaan Schlumberger.

 

Katanya, keupayaan Schlumberger akan dimanfaatkan untuk membangunkan teknologi boleh dipercayai, selamat dan sedia untuk digunakan yang mengurangkan jejak karbon dalam operasi huluan di samping menyediakan rangka kerja keupayaan yang tepat serta repositori data yang cekap.

 

"Kami yakin kerjasama ini akan terus memberi inspirasi bagi penyelesaian yang lebih inovatif ke arah menguruskan pelepasan karbon sekali gus menyokong aspirasi Petronas untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050," katanya. 

 

Petronas juga berusaha untuk mencapai lebih banyak pembakaran pengeluaran berterusan sifar dan pelepasan hidrokarbon dengan menggunakan teknologi yang dapat mengurangkan pelepasan di seluruh rantaian nilai

 

Pada masa sama, syarikat minyak dan gas negara itu sedang melaksanakan langkah terancang untuk membangunkan portfolio berdaya tahan dan mampan dalam menyokong peralihan kepada sumber
tenaga karbon rendah kepada sifar. - DagangNews.com