Pharmaniaga rugi RM32.7 juta pada suku keempat, pendapatan juga susut 8.5% | DagangNews Skip to main content

Pharmaniaga rugi RM32.7 juta pada suku keempat, pendapatan juga susut 8.5%

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Feb - Pharmaniaga Bhd melaporkan kerugian bersih pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (4QFY23) dengan jumlah sebanyak RM32.7 juta.

 

Jumlah pendapatan syarikat berstatus PN17 itu bagi 4QFY23 juga menyaksikan penurunan 8.5% berbanding setahun sebelumnya apabila mencatatkan RM789.8 juta, daripada RM862.7 juta pada 4QFY22.

 

Menurut pemakluman kepada Bursa Malaysia, Pharmaniaga berkata, ini didorong oleh penurunan jualan sebanyak 19.6% dalam perniagaan konsesi tetapi impak itu disederhanakan oleh peningkatan prestasi yang dicatatkan oleh segmen Indonesia.

 

Kerugian bersih RM32.7 juta yang dicatatkan pada suku keempat FY23 bagaimanapun mewakili penurunan daripada sebanyak RM644.4 juta yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

Bagi FY23, kumpulan farmaseutikal itu merekodkan kerugian bersih sebanyak RM77.45 juta berbanding rugi bersih RM629.92 juta pada FY22.

 

Penurunan hasil pula berjumlah RM3.4 bilion pada FY23 berbanding RM3.5 bilion pada tahun kewangan berakhir 2022.

 

Katanya, ini mewakili penurunan sebanyak 2.2% yang disebabkan terutamanya oleh pengurangan hasil daripada perniagaan konsesi susulan daripada peruntukan belanjawan yang lebih rendah.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pharmaniaga catat kerugian bersih RM644.39 juta pada 4Q FY2022; terjerumus ke dalam PN17

 

"Pada FY23 terdapat peruntukan one-off untuk keusangan stok (RM64.8 juta) daripada permintaan yang perlahan untuk inventori bahan habis guna berkaitan pandemik seperti peralatan pelindung diri dan jarum serta hapus kira kos pembangunan produk baharu (RM12.8 juta) disebabkan oleh daya maju produk bukan komersial.

 

"Selain itu, pemberhentian perniagaan bukan teras dan tidak berprestasi juga mengakibatkan penurunan nilai peralatan jentera RM12.9 juta," jelasnya.

 

Memandang ke hadapan, Phamaniaga berkata, tahun 2023 merupakan permulaan yang menjanjikan berikutan penstrukturan semula operasi perniagaan yang komprehensif dan pelaksanaan pelbagai inisiatif.

 

Katanya, satu pencapaian penting telah dicapai pada 3 Januari 2024, dengan termeterainya Perjanjian Konsesi Logistik dan Pengedaran dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tempoh 7 tahun, berkuat kuasa secara retrospektif pada 1 Julai 2023. 

 

"Perjanjian ini adalah penting kepada operasi rangka kerja kami, menyediakan asas yang stabil untuk aktiviti perniagaan kami dan membolehkan kami merancang dengan lebih pasti dan cekap," katanya.

 

Pharmaniaga pada masa mengakui terdapat beberapa cabaran yang memberi kesan kepada prestasi kewangan dan operasi antaranya seperti turun naik  dolar Amerika Syarikat (AS$), peningkatan kos kewangan disebabkan oleh kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), peningkatan tarif elektrik dan kos buruh yang lebih tinggi.- DagangNews.com