KUALA LUMPUR 16 Julai - Pharmaniaga Bhd. sudah membekalkan 12 juta dos vaksin Sinovac kepada kerajaan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 (PICK).
Selain itu, kumpulan terakhir vaksin itu juga akan dibekalkan pada 21 Julai ini, iaitu 4 setengah bulan lebih awal daripada jadual kontrak asal.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat farmasi itu berkata, apabila jumlah suntikan dos pertama di semua negeri sudah mencecah hampir 6 juta, arahan dikeluarkan supaya menghentikan pemberian dos pertama tersebut.
"Kini, syarikat memberi tumpuan untuk memberi dos kedua bagi mengelakkan berlakunya kes gangguan ketiadaan bekalan bagi dos kedua jika dos pertama diberikan lebih daripada 6 juta," jelasnya seperti dilapor Bernama.
Kontrak pembekalan Pharmaniaga kepada kerajaan melibatkan pembekalan sebanyak 12 juta dos vaksin COVID-19 Sinovac secara 'fill and finish' dalam tempoh 7 bulan antara Mei dan November 2021.
Malah, Pharmaniaga juga bersedia membuat tambahan bekalan jika kerajaan berhasrat meneruskan penggunaan vaksin Sinovac di PICK.
"Syarikat telah membuat tawaran untuk meningkatkan bekalan kepada 2 juta dos kepada kerajaan dan menunggu keputusan rasmi berhubung perkara ini," katanya.
Menurut syarikat itu, apabila kes jangkitan COVID-19 meningkat sejak Mac 2021, Pharmaniaga mengambil langkah-langkah proaktif dengan meningkatkan bekalan vaksin Sinovac dengan membuat tempahan vaksin import siap sejajar dengan pengedaran vaksin 'fill and finish'.
Dalam pada itu, Pharmaniaga akan terus membekalkan vaksin Sinovac kepada kerajaan negeri, agensi kerajaan dan sektor swasta yang telah lama menunggu bekalan ini bagi membantu mempercepatkan program vaksinasi seiring dengan PICK.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, keputusan untuk menghentikan pemberian Sinovac terutamanya disebabkan kekurangan bekalan vaksin, yang mana negeri-negeri lain juga akan turut serta dan bergantung kepada Pfizer. - DagangNews.com