Pharmaniaga yakin mampu kembali pulih setelah mencatat keuntungan selepas cukai RM26.2 juta 1QFY2024 | DagangNews Skip to main content

Pharmaniaga yakin mampu kembali pulih setelah mencatat keuntungan selepas cukai RM26.2 juta 1QFY2024

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 5 Jun – Pharmaniaga Berhad akan terus memanfaatkan peningkatan kecekapan operasi dan langkah kawalan kos yang ketat yang telah terbukti telah membantu Kumpulan untuk berdaya tahan dan muncul semula dengan lebih kukuh di tengah-tengah situasi kewangannya yang mencabar.

 

Pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-26 hari ini, Pengarah Eksekutif Pharmaniaga, Zulkifli Jafar berkata, “Saya gembira dengan semua inisiatif dan keperluan yang kami lakukan pada 2023 telah mula membuahkan hasil yang positif".

 

"Keputusan seperti yang ditunjukkan oleh prestasi kukuh Kumpulan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY2024) dengan Keuntungan Selepas Zakat dan Percukaian (PAT) yang melonjak hampir sepuluh kali ganda kepada RM26.2 juta, meningkat daripada RM2.8 juta pada suku yang sama tahun lepas,” kata beliau dalam kenyataan di sini.

 

Zulkifli menghargai ketabahan luar biasa operasi dan perniagaan Pharmaniaga yang memainkan peranan penting dalam membuka jalan bagi kebangkitan dan pemulihan Kumpulan.

 

Beliau berkata, dengan mengenal pasti bidang tumpuan utama, kami dapat mengarahkan sumber organisasi kami secara strategik, memacu perubahan transformatif dan mencapai pertumbuhan yang mampan."

 

 

Pharmaniaga, Zulkifli Jafar
                      Zulkifli Jafar

 

 

Sepanjang tahun kewangan 2023, pencapaian Kumpulan termasuk:

• lanjutan perjanjian konsesi dengan Kementerian Kesihatan selama tujuh tahun, secara retrospektif mulai 1 Julai 2023,

• penubuhan kemudahan pembuatan vaksin dan insulin untuk mengembangkan perniagaan biofarmaseutikal terus berada di landasan yang betul,

• pelaksanaan latihan pengoptimuman kos yang komprehensif di seluruh bahagian perniagaannya,

• pelancaran produk baharu untuk pasaran swasta, dan

• membina operasi perniagaan di Indonesia dengan membuka dua pusat pengedaran baharu, masing-masing di Purwakarta dan Mataram.

 

Zulkifli berkata, untuk memacu ke hadapan, syarikat menubuhkan Wawasan 525 – pelan strategik yang terdiri daripada lima tonggak strategik yang menterjemahkan matlamat organisasi Kumpulan yang lebih luas kepada objektif yang boleh diambil tindakan dan boleh diukur.

 

Lima tonggak tersebut ialah:

(i) memperkukuh perniagaan sektor awam,

(ii) membina keupayaan biofarmaseutikal,

(iii) mengoptimumkan kos secara agresif,

(iv) mengembangkan pasaran swasta, dan

(v) mencipta semula pasaran Indonesia.

 

 

Pharmaniaga Izaddeen Daud
                 Izaddeen Daud

 

 

Sementara itu, Pengerusi Pharmaniaga Izaddeen Daud berkata, Lembaga Pengarah gembira dengan prestasi Kumpulan dan telah menyokong Wawasan 525, yang mewujudkan harapan untuk masa depan dan memastikan rancangan itu akan dilaksanakan dengan baik.

 

Semua resolusi yang dibentangkan di dalam Notis AGM bertarikh 3 Mei 2024 telah diluluskan oleh para pemegang saham. - DagangNews.com