PIAM jangkakan tuntutan insurans berkaitan banjir mencecah RM3 bilion | DagangNews Skip to main content

PIAM jangkakan tuntutan insurans berkaitan banjir mencecah RM3 bilion

 

 

 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 28 Dis - Industri insurans am berpotensi menghadapi peningkatan sebanyak RM2 bilion hingga RM3 bilion dalam jumlah tuntutan berkaitan banjir, berikutan banjir luar biasa melanda negara.

 

Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) berkata, anggaran ini termasuk talian peribadi yang sebenar dan berpotensi serta tuntutan risiko komersial yang berpunca secara langsung daripada banjir kilat baru-baru ini dan musim tengkujuh  dalam beberapa minggu dan bulan akan datang.

 

PIAM berkata sebagai tambahan kepada jumlah tuntutan pembayaran yang dianggarkan di atas, industri insurans am turut bersimpati terhadap mangsa banjir dan menghulurkan bantuan dengan menderma dan menyumbang RM2.43 juta kepada Flood Relief Fund @ Dec 2021   , sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menyokong komuniti permotoran yang terjejas teruk.

 

"Inisiatif industri insurans am ini akan melebihi komitmen sedia ada oleh penanggung insurans. 

 

"Bantuan CSR ini pada mulanya adalah dalam bentuk subsidi ke arah pembersihan di bengkel untuk kenderaan yang terjejas secara langsung akibat banjir dan dihadkan pada subsidi satu kali bagi setiap kenderaan sebanyak RM500 untuk kereta/kenderaan perdagangan dan RM100 untuk motosikal. 

 

"Pihak yang menuntut perlu mengemukakan bukti yang diperlukan tentang kerosakan banjir pada kenderaan mereka dan bukti perlindungan insurans terdahulu," katanya dalam kenayataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, bagi membuat tuntutan tersebut, kenderaan yang terjejas mestilah sama ada diinsuranskan pada masa ini bagi sebarang jenis polisi motor dengan atau tanpa perlindungan banjir adalah layak atau kenderaan yang kali terakhir diinsuranskan pada 1 Jun 2021.

 

"Pada peringkat ini, Dana akan ditutup sebaik sahaja jumlah yang dicagarkan sebanyak RM2.43 habis digunakan. 

 

"Selaras dengan objektif CSR, kami PIAM mengalu-alukan sumbangan daripada pihak atau industri lain terhadap Tabung Bantuan Banjir ini yang akan memanjangkan jangka hayat Dana dan seterusnya membantu lebih ramai pemandu yang terjejas. 

 

"Butiran tentang cara membuat tuntutan oleh pemandu yang terjejas akan diumumkan tidak lama lagi," katanya. -DagangNews.com