KUALA LUMPUR 17 Feb - Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi (PPV-IPT) universiti itu, hujung bulan ini.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, PPV-IPT UMS masih di peringkat permohonan bagi pemberian suntikan vaksin untuk kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun.
Beliau berkata, difahamkan kurang 10% daripada 411,400 kanak-kanak yang layak menerima vaksin di negeri itu telah mendapatkan suntikan vaksin.
“Suntikan dos vaksin jenis Pfizer yang diberikan untuk kanak-kanak hanyalah 0.2 mililiter (ml), iaitu satu pertiga daripada jumlah dos orang dewasa. Untuk itu, diharapkan ibu bapa agar tidak merisikokan kesihatan anak-anak dengan memberi sokongan terhadap PICKids.
"Justeru, usaha ini diharap mampu meningkatkan peratusan pengambilan vaksin golongan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Taufiq berkata, statistik menunjukkan 604 kes positif membabitkan kanak-kanak bawah 11 tahun daripada 5,082 kes yang dicatatkan di negeri Sabah semalam, amat wajar untuk kanak-kanak mendapatkan vaksin secepat mungkin.
Dalam pada itu, beliau berkata, universiti telah mengaktifkan semula operasi PPV-IPT UMS bagi pemberian dos penggalak COVID-19 sejak 11 Januari lalu sebagai usaha menangani ancaman varian Omicron serta peningkatan kes direkodkan di Sabah yang mencecah 3,000 ke 4,000 setiap hari.
Katanya, sehingga kini sejumlah 1,913 suntikan dos penggalak jenis Pfizer telah diberikan, merangkumi 179 dos kepada kakitangan UMS, 1183 dos pelajar UMS, serta 550 dos untuk orang awam di sekitar Kota Kinabalu.
Jelasnya, PPV-IPT UMS telah beroperasi setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang bagi memberikan 100 suntikan dos penggalak setiap hari kepada orang awam berumur 18 tahun ke atas.
“UMS melihat pengambilan dos penggalak sangat penting untuk melindungi masyrakat daripada kesan penyakit COVID-19 terutama varian Omicron yang semakin menular dalam kalangan komuniti.
“Justeru, pengaktifan semula PPV-IPT UMS ini merupakan satu langkah memperluaskan pemberian vaksin kepada masyarakat, sekali gus mengawal penularan serta mengurangkan peningkatan jumlah kes COVID-19 di negeri ini,” katanya.
Tambah beliau, adalah amat penting kepada setiap lapisan masyarakat untuk mendapatkan vaksin dan dos penggalak bagi meningkatkan daya tahan badan dan memanjangkan imuniti terhadap COVID-19.
Untuk sebarang pertanyaan atau temujanji bagi mendapatkan dos penggalak jenis Pfizer dan permohonan vaksin untuk kanak-kanak, boleh menghubungi PPV-IPT UMS atau WhatsApp di talian 088-329201. - DagangNews.com