Pikas: 5,123 pekerja bakal divaksin di PPV Pengerang | DagangNews Skip to main content

Pikas: 5,123 pekerja bakal divaksin di PPV Pengerang

Mohamed Azmin Ali bersama Lim Ban Hong ketika membuat lawatan tapak ke PPV Pengerang di bawah Pikas hari ini.

Mohamed Azmin Ali bersama Lim Ban Hong ketika membuat lawatan tapak ke PPV Pengerang di bawah Pikas hari ini.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Jun - Seramai 5,123 pekerja dijangka akan divaksin melalui Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) COVID-19, di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pengerang, Johor.

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata,  jumlah itu dijangkakan sejak pembukaan PPV berkenaan pada 16 Jun 2021.

 

Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama Timbalannya, Datuk Lim Ban Hong membuat lawatan tapak ke PPV berkenaan hari ini.

 

Selain Pengerang, kedua-dua menteri berkenaan  turut membuat lawatan pemantauan persiapan PPV di Austin International Convention Centre (AICC).

 

"PPV di Pengerang merupakan PPV on-site di bawah Model 2 Pikas, sementara PPV di AICC pula adalah PPV Common Use di bawah Model 1 program yang sama. Lawatan ke tapak berkenaan adalah susulan lawatan ke PPV di Selangor dan Pulau Pinang sebelum ini.

 

"Sebanyak 2,082 syarikat dari seluruh negara dengan jumlah pekerja seramai 301,050 orang telah berdaftar di dalam Pikas setakat 16 Jun 2021.

 

"Bagi negeri Johor, sebanyak 255 syarikat telah berdaftar dan seramai 14,357 pekerja adalah pemain industri di Johor," jelas MITI dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mohamed Azmin Ali bersama Lim Ban Hong ketika membuat lawatan tapak ke PPV Pengerang di bawah Pikas hari ini.
Mohamed Azmin Ali bersama Lim Ban Hong ketika membuat lawatan tapak ke PPV Pengerang di bawah Pikas hari ini.
 

 

Program Pikas adalah langkah responsif berikutan cadangan dari persatuan industri, dewan perniagaan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana untuk membantu mempercepat vaksinasi bagi rakyat, untuk mencapai imuniti kelompok di dalam komuniti. 

 

Program yang dilancarkan pada 12 Jun itu disasarkan kepada sektor pembuatan dan perkhidmatannya yang berkaitan. 

 

Program berkenaan telah mendapat sokongan penuh pemain industri dan bakal memberi impak positif kepada produktiviti di tempat kerja selain memberi jaminan perlindungan kesihatan mereka.

 

MITI juga telah memberi jaminan bahawa pekerja yang menyertai program ini tidak akan dibebani dengan kos tambahan dan vaksin akan diberikan secara percuma oleh kerajaan kepada pekerja.

 

Melalui program kolaborasi awam-swasta itu, majikan perlu menanggung kos pentadbiran proses vaksinasi dan tidak dibenarkan untuk memotong gaji pekerja bagi membiayai kos yang terlibat. - DagangNews.com