Pindaan Garis Panduan Unit Amanah: SC seru rundingan orang awam | DagangNews Skip to main content

Pindaan Garis Panduan Unit Amanah: SC seru rundingan orang awam

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR11 Nov. - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengajak orang awam untuk memberi maklum balas mengenai cadangan institusi itu untuk meminda Garis Panduan Unit Amanah atau Guidelines on Unit Trust Funds.

Proses rundingan yang dilaksanakan selama dua bulan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SC untuk mempertingkat daya saing pasaran dan memastikan perkembangan yang berterusan industri unit amanah Malaysia.

“SC telah menggariskan 30 cadangan sebagai sebahagian daripada kertas perundingan tersebut, yang meliputi usaha melonggarkan jenis pelaburan yang boleh dipertimbangkan oleh dana hingga pindaan untuk pengukuhan proses pengurusan risiko syarikat pengurusan dana. 

“SC juga mempertimbangkan peningkatan kepada syarat pengoperasian termasuk urus niaga dan penilaian dana.

“Bagi memastikan polisi yang konsisten untuk dana unit amanah, SC juga mempertimbang untuk memperluas beberapa langkah yang dicadangkan bagi diguna pakai dalam dana dagangan bursa (ETF) dan skim persaraan swasta (PRS),” kata SC dalam satu kenyataan hari ini. 

Jelas SC, penambahbaikan baharu yang dicadangkan itu akan menggalakkan daya saing yang lebih besar dalam industri dan memberi akses kepada pelabur ke rangkaian produk yang lebih luas, di samping memastikan perlindungan pelabur secukupnya. 

Ketika menjalankan semakan semula terhadap industri unit amanah dan merumus Kertas Perundingan itu, SC berkata, pihaknya telah mengambil kira keperluan pelabur yang semakin meningkat, perkembangan dan keperluan kawal selia dalam bidang kuasa lain.

Ini termasuk maklum balas yang dikumpulkan daripada pelbagai sesi penglibatan bersama-sama pihak berkepentingan termasuk sesi dialog SC dengan industri baru-baru ini.  

“Kertas cadangan ini boleh didapati di laman sesawang SC. 

“Pihak yang berminat boleh menghantar maklum balas mereka melalui http://www.sc.com.my/survey-cp01-2020 sebelum 10 Januari 2021. 

“Orang ramai juga boleh menghantar e-mel kepada [email protected] untuk pertanyaan lanjut,” tambah SC. 

Dana unit amanah merupakan komponen terbesar dalam industri Skim Pelaburan Kolektif di Malaysia. 

Setakat 30 September 2020, terdapat 39 syarikat pengurusan tempatan yang diluluskan untuk menawarkan 693 dana unit amanah dengan jumlah nilai aset bersih (NAV) sebanyak RM490.3 bilion. - DagangNews.com