Pinterest ungguli dunia pelaburan media sosial | DagangNews Skip to main content

Pinterest ungguli dunia pelaburan media sosial

Pinterest

NEW YORK 30 Sept. - Aplikasi media sosial, Pinterest mengungguli dunia pelaburan media sosial bagi tahun 2020.

Kedudukan tersebut sekali gus meninggalkan aplikasi media sosial lain seperti Facebook, Twitter dan Snapchat.

Saham Pinterest (PINS) meningkat hampir 125% pada tahun ini, melepasi keuntungan saham Facebook (FB) lebih daripada 25%.

Manakala kenaikan 40% dan 60% untuk aplikasi Twitter (TWTR) dan Snap (SNAP).

Beberapa penganalisis berpendapat, Pinterest mempunyai kelebihan pada laman perkongsian gambar hasil pembaharuan perisian Apple.

Lapor CNN, kemunculan iOS 14 Apple (AAPL) baru-baru ini memberi kelebihan kepada Pinterest untuk lebih mudah menyesuaikan paparan aplikasinya di skrin iPhone.

Susulan daripada itu, beberapa laporan turut mengesahkan peningkatan jumlah muat turun aplikasi berkenaan sekali gus mencatat rekod di App Store dalam beberapa minggu terakhir.

Pengguna media sosial turut membuat ciapan berkaitan 'screengrabs' bagi paparan utama skrin mereka dengan catatan bahawa aplikasi Pinterest memberi inspirasi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ValueChampion, DJ Kang berkata, lebih ramai pengguna telah beralih menggunakan iOS 14 sekali gus dapat menarik perhatian pengiklan.

"Peningkatan pengguna yang memuat turun Pinterest semakin meningkat sejak Apple memperkenalkan iOS 14.
Pendapatan purata bagi setiap pengguna Pinterest di Amerika Syarikat (AS) lebih daripada tiga kali ganda daripada pendapatan bagi pengguna antarabangsa.

"Ciri baharu Story Pins pada Pinterest turut menjadi kelebihan kepada pengguna untuk membuat hantaran gambar yang pelbagai, video, audio dan teks yang dapat membantu syarikat menarik lebih ramai pengguna," jelasnya.

Tambahnya lagi, kelebihan tersebut akan menarik minat pengguna terutamanya generasi Z.

Bagaimanapun, Pinterest perlu membuktikan kepada Wall Street bahawa aplikasinya dapat mencapai keuntungan yang konsisten dalam jangka masa panjang

Penganalisis turut meramalkan bahawa Pinterest akan mencatatkan keuntungan kecil bagi tahun 2020 selain peningkatan jumlah pendapatan pada 2021.

Seramai 20 daripada 28 penganalisis telah menaikkan harga sasaran sesaham Pinterest selepas syarikat tersebut membuat laporan berkaitan hasil suku kedua pada akhir Julai lalu. - DagangNews.com