IPOH 15 Mei - Sebanyak 22 unit lampu solar dipasang di sekitar bangunan Perak Techno Trade Centre (PTTC) Meru Raya di sini sebagai permulaan bagi pelaksanaan inisiatif teknologi hijau.
Seterusnya, kerajaan negeri merancang untuk memasang 1,000 unit lampu jalan solar di kawasan pedalaman termasuklah perkampungan Orang Asli.
Projek Smart Solar Streetlighting ini dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) sebagai sekretariat pelaksana yang diberi tanggung jawab oleh kerajaan negeri Perak.
Inisiatif ini merupakan usahasama strategik PKNPk melalui anak syarikatnya, Perak Industrial Resources Sdn. Bhd. (PIRSB) dengan Reneuco RE Sdn. Bhd.
Kos setiap unit lampu jalan solar ini termasuk pemasangan dianggarkan antara RM7,000 hingga RM14,000 seunit.
Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, lokasi bagi pemasangan lampu solar seterusnya sedang dalam perbincangan dengan pihak yang terlibat.
Katanya, pemasangan lampu solar pintar itu akan memberi kesan positif dalam penjimatan kos elektrik serta mengurangkan risiko kecurian kabel.
"Lampu solar Sunna Design ini telah menerima pengiktirafan melalui 11 anugerah antarabangsa dan 14 anugerah paten.
"Direkabentuk menggunakan grid pintar yang digerakkan oleh tenaga solar, justeru pemasangannya sangat sesuai di kawasan awam dan pembangunan baru dengan penggunaan tenaga elektrik paling minimum atau di lokasi yang tiada kemudahan elektrik," ujarnya.
Usaha penggunaan tenaga solar sejajar dengan agenda Perak Sejahtera 2030 iaitu teras ketiga dalam konteks kelestarian penggunaan sumber dan alam semula jadi.
Jelas Redza Rafiq, pihaknya juga melihat potensi untuk mendapatkan pelanggan seperti jabatan dalam kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kerja Raya serta pihak swasta yang terlibat dalam sektor pembangunan hartanah.
"Inisiatif Smart Solar Streetlighting yang dilaksanakan melalui model 'owner-operator' juga bakal dipasarkan di zon Utara merangkumi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis," ujarnya.
Terdahulu, majlis pelancaran Program Pelestarian Bangunan PTTC ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Saarani Mohamad.- DagangNews.com