PKNS catat 75 peratus unit Residensi Advena terjual pada hari pertama pelancaran | DagangNews Skip to main content

PKNS catat 75 peratus unit Residensi Advena terjual pada hari pertama pelancaran

SHAH ALAM 16 Okt - Lebih 75 peratus daripada 232 unit rumah Residensi Advena di Seksyen 16 di sini yang dimajukan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), berjaya dijual pada hari pertama pelancarannya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, sambutan yang menggalakkan daripada pembeli dipercayai berikutan harganya yang berpatutan bermula dari RM388,000 sehingga RM398,000 sahaja untuk sebuah pangsapuri yang terletak di kawasan strategik di tengah bandar raya Shah Alam.

 

Katanya Residensi Advena yang berkeluasan 941 kaki persegi mempunyai dua blok iaitu sebuah bangunan 14 tingkat dan sebuah lagi 20 tingkat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah lebih RM91 juta yang dijadualkan siap pada akhir tahun hadapan.

 

"PKNS komited dalam menyediakan perumahan mampu milik sesuai untuk semua golongan dan untuk projek rumah ini, kita mengambil untung sedikit sahaja kerana ia merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat PKNS untuk rakyat Selangor,” katanya kepada media di sini, Bernama melaporkan.


 

PKNS
Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas (dua, kanan) pada majlis pelancaran projek perumahan Residensi Advena Seksyen 16 di Kompleks PKNS Shah Alam pada 15 Oktober 2022.

 

 

Mahmud berkata dengan sambutan positif yang diterima,  pihaknya yakin kesemua unit Residensi Advena mampu terjual dalam tempoh dua ke tiga bulan akan datang. 

 

Katanya setiap unit projek itu dibina dengan rekaan moden meliputi tiga bilik tidur dan dua bilik air serta lengkap dengan kemudahan fasiliti antaranya kolam renang, gimnasium, tempat letak kenderaan bertingkat, dewan serbaguna, surau, kiosk kedai, pejabat pengurusan dan bilik bacaan.

 

Mahmud berkata perbadanan turut menawarkan pakej menarik antaranya yuran guaman serta duti setem percuma dan bagi memudahkan pembeli mendapatkan pembiayaan pinjaman, program pelancaran sepanjang dua hari di Kompleks PKNS Shah Alam itu turut disertai oleh sembilan panel institusi perbankan. - DagangNews.com