KUALA LUMPUR 16 Ogos - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bekerjasama dengan pemaju hartanah, HCK Capital Group Bhd bagi membangunkan projek bandar pintar e.Sentral yang merupakan sebahagian daripada langkah ke arah membina bandar rendah karbon.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan PKNS, Md Kamarzan Md Rais berkata pembangunan campuran guna di Subang Perdana akan dibangunkan di atas tanah seluas 4.05 hektar dan menekankan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Ini adalah kerjasama pertama kami dengan HCK dan projek ini merupakan pembangunan bandar pintar pertama mereka,” kata beliau.
Beliau juga berkata bahawa mengikut rancangan yang dipersetujui bersama, pemaju negeri Selangor akan mempunyai 30% kepentingan dalam pembangunan itu.
“PKNS sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan pemaju lain bagi membangunkan bandar pintar dengan pelbagai kemudahan,” katanya kepada pemberita semasa majlis pecah tanah e.Sentral pada Khamis.
Pengarah Urusan Kumpulan HCK Datuk Dr Dennis Ling berkata projek itu akan mempunyai dua fasa yang mana fasa pertama akan dimulakan pada bulan depan.
“Dalam kerjasama ini, PKNS membawa kepakaran dalam membangunkan komuniti mampan, manakala HCK menyumbang teknologi pintar dan reka bentuk mesra alam, usaha sama kami akan menetapkan piawaian baharu bagi bandar pintar,” ulasnya.
“Kami menawarkan 3,000 unit (perumahan dan lot kedai) untuk kedua-dua fasa, pada harga tawaran antara RM300,000 dan RM550,000.
Projek yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun setengah itu akan menjadi mercu tanda yang mengambil kira elemen alam semula jadi.
Ling berkata, Subang Perdana dipilih kerana lokasinya yang strategik yang memberi akses ke kawasan hutan, dan pembangunannya akan menjadi sebahagian daripada pelan bandar rendah karbon kami,” ujarnya.
Pembangunan e.Sentral akan menawarkan ciri termaju, termasuk pengecaman plat kereta di pintu penghalang, pengecaman muka di lobi dan teknologi deria gerakan bagi mengurangkan penggunaan tenaga.- DagangNews.com