PKP 2.0 : Ramainya beli gajet di Shopee | DagangNews Skip to main content

PKP 2.0 : Ramainya beli gajet di Shopee

 

 

 

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Pembelian gajet di platform e-dagang, Shopee melonjak 4 setengah kali ganda hanya dalam tempoh 5 hari mulai 11 hingga 15 Januari apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasa semula, lapor Bernama

 

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, ia menyaksikan lebih 550,000 unit terjual dalam tempoh itu seperti  komputer riba, telefon pintar, tablet, komponen rangkaian, papan kekunci, pencetak dan sistem audio.   

 

Malah, peningkatan itu lebih tinggi berbanding ketika PKP kali pertama dilaksanakan 18 Mac lalu ekoran meningkatnya permintaan memberangsangkan untuk gajet teknologi untuk pembelajaran dan bekerja dari rumah. 

 

"Sejak sesi pembelajaran dalam talian bermula pada pertengahan 2020, kami melihat gajet teknologi pengguna yang sesuai untuk pembelajaran di rumah atau bekerja dari rumah amat laris. Permintaan untuk PC dan gajet untuk e-pembelajaran meningkat secara mendadak.

 

"Semasa Jualan Hebat 12.12 pada 12 Disember lalu, kami dapati 8 daripada 10 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia yang terbaik adalah peruncit elektronik yang mencatatkan penjualan purata melebihi RM800,000 setiap satu," katanya kepada agensi berita itu.

 

Ian berkata, ibu bapa yang mempunyai lebih daripada seorang anak di sekolah untuk sesi e-pembelajaran boleh mendapatkan tawaran secara bundle atau 'add-on' mengikut jenama dan peruncit di platform masing-masing bagi menikmat lebih banyak penjimatan.

 

"Terdapat juga penjual semula yang boleh dipercayai di platform kami yang menjual komputer riba terpakai dan diperbaharui dengan harga bermula dari RM325 sekiranya ibu bapa memerlukan lebih daripada 1 komputer riba untuk anak-anak mereka dan mempunyai sumber yang terhad," tambahnya.

 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) Danny Lee berkata, pertubuhan itu menyaksikan permintaan untuk gajet teknologi meningkat dari semasa ke semasa kerana keperluan untuk penggunaan peranti itu di rumah kian mendesak sejak bermulanya fasa bekerja dari rumah dan sesi pembelajaran dalam talian.

 

"Kerajaan juga mungkin mempertimbang untuk menawarkan bentuk insentif lain bagi menggalakkan lagi penggunaan dan pembelian produk teknologi seperti penepian  Cukai Jualan dan Perkhidmatan, internet percuma, subsidi atau bahkan melaksanakan program 1 komputer riba 1 keluarga,” kata beliau.

 

Lee menambah, terdapat beberapa jenama di pasaran yang menawarkan potongan harga untuk komputer riba dan komputer meja, terutama dalam tempoh ini ketika tahun persekolahan baru bermula.

 

"Pada masa sama, syarikat telekomunikasi juga menawarkan promosi hebat dalam pakej internet sejak beberapa bulan ini dan mereka akan terus berbuat demikian. Penawaran data 1GB percuma juga diperluas," tambahnya.

 

Dalam pada itu, YTL Foundation mengumumkan telah mengedar lebih 400,000 kad sim dan 100,000 telefon bimbit ke seluruh negara sepanjang inisiatif 'Belajar Dari Rumah' yang baharu dilancarkannya.

 

Pengarah program, Datin Kathleen Chew berkata, inisiatif itu menawarkan 1,272 pelajaran selaras dengan kurikulum yang dikembangkan oleh FrogAsia dengan kerjasama penyedia kandungan.

 

"Pelajar yang menggunakan platform 'Belajar dari Rumah’ juga dapat mengakses lebih 13,500 kuiz semakan yang merangkumi kandungan pembelajaran yang sama melalui aplikasi permainan mudah alih FrogPlay," katanya. - DagangNews.com