KUALA LUMPUR 21 Mei - Pasaran buruh pada suku pertama 2021 hanya pulih secara sederhana dengan mengambil kira pelaksanaan langkah kawalan secara bersasar bagi menangani krisis kesihatan awam awal tahun ini.
Kerajaan menguatkuasakan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 mulai 13 Januari yang berakhir Mac lalu seiring dengan proklamasi darurat sehingga Ogos ini bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Walaupun penurunan perlahan dilihat bagi kebanyakan indikator yang mana menunjukkan momentum pemulihan yang optimis, senario pasaran buruh bagi tempoh berkenaan masih belum kembali seperti keadaan sebelum COVID melanda, menurut Sorotan Pasaran Buruh Suku Pertama yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan hari ini.
Bagi tempoh itu, bilangan penduduk bekerja merekodkan penurunan kecil tahun ke tahun sebanyak 7,000 kepada 15.24 juta orang dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk turun 1.1 mata peratus kepada 65.3%.
Ini menjadikan kadar pengangguran kekal pada 4.8% berbanding 3.5% pada suku pertama 2020.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, berbeza dengan tempoh sama tahun lalu yang mana PKP menyebabkan penutupan kebanyakan aktiviti ekonomi serta sempadan negara dan negeri, suku pertama 2021 menyaksikan lebih banyak negeri berada dalam PKPP sementara beberapa yang lain berada dalam PKPB.
"Sejajar dengan itu, sebahagian besar aktiviti ekonomi terus beroperasi dengan pematuhan SOP yang ketat.
"Oleh itu, jumlah guna tenaga tidak penuh berkaitan masa turun 19% (72,200 orang) berbanding suku pertama 2020 berikutan lebih banyak perniagaan kembali beroperasi pada waktu operasi biasa sejak pertengahan Februari 2021," katanya dalam laporan berkenaan.
Sektor ekonomi mencatatkan sejumlah 8.437 juta jawatan bagi tempoh berkenaan, jatuh 1.5% berbanding tempoh sama 2020. Kadar jawatan diisi pula menyusut sebanyak 0.2 mata peratus kepada 97.9%.
Sebaliknya, kadar kekosongan meningkat kepada 2.1% daripada 1.9% pada suku pertama 2020 merekodkan 178,000 kekosongan.
Di samping itu, terdapat 17,400 jawatan diwujudkan di sektor swasta pada suku tersebut.
Menurut beliau, memandangkan keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia turun secara marginal 0.5% pada suku pertama 2021 manakala jumlah jam bekerja berkurang sebanyak 0.9%, produktiviti buruh per jam bekerja meningkat 0.4%.
Produktiviti buruh per pekerja juga turun 0.4%, jelas beliau.
"Dalam mengharungi keadaan yang sukar ini, salah satu isu utama yang harus ditangani adalah kebajikan pekerja rentan.
"Strategi 3 serangkai yang dilaksanakan kerajaan memberi peluang bagi pengekalan pekerjaan, melindungi hak pekerja dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi membantu golongan yang terjejas menghadapi cabaran berikutan pandemik COVID-19.
"Usaha telah ditingkatkan dengan peluasan liputan jaringan keselamatan sosial kepada penduduk bekerja sendiri dan pemilik perniagaan informal," katanya.
Ketika ini, kerajaan kembali melaksanakan PKP 3.0 mulai 12 Mei sehingga 7 Jun 2021 disebabkan jangkitan harian yang terus meningkat.
Menurut Mohd. Uzir, dengan cabaran baharu ini, para peniaga mungkin akan terus berdepan dengan situasi kurang memberangsangkan pada suku kedua 2021.
Katanya, keadaan ini dijangka menyebabkan gangguan terhadap momentum pemulihan pasaran buruh.
"Dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ketat oleh individu dan perniagaan, diharapkan PKP 3.0 dapat mengawal jumlah jangkitan harian serta mengurangkan risiko jangkitan kepada golongan rentan dan seterusnya menurunkan bilangan kematian kerana pandemik ini.
"Di samping itu, peningkatan penerimaan dos vaksin lengkap dalam kalangan masyarakat diharap dapat meredakan kebimbangan, memperbaiki sentimen perniagaan dan mengembalikan dinamik pasaran buruh negara," tegas beliau. - DagangNews.com