PKP jejaskan populariti medium bercetak, CGS-CIMB ulangi pandangan 'overweight' terhadap sektor media | DagangNews Skip to main content

PKP jejaskan populariti medium bercetak, CGS-CIMB ulangi pandangan 'overweight' terhadap sektor media

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Feb - CGS-CIMB Research mengulangi pandangan 'overweight' terhadap sektor media berikutan prospeknya yang cerah sejajar pemulihan ekonomi negara. 

 

Data Nielsen Malaysia menunjukkan pasaran perbelanjaan pengiklanan (adex) bagi media tradisional pada 2021 mencecah RM4.9 bilion. 

 

Hasil pengiklanan pada 2021 melonjak 20.3% tahun ke tahun, hanya 5% lebih rendah berbanding 2019 berjumlah RM5.2 bilion. 

 

Penganalisisnya, Kamarul Anwar Kamaruddin berkata, pencapaian itu dilihat mengagumkan memandangkan negara berdepan dengan sebahagian besar perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu. 

 

Bagaimanapun, katanya, pertumbuhan pasaran adex tradisional pada 2021 hampir sepenuhnya didorong oleh medium penyiaran televisyen bebas ke udara (FTA).

 

"Pemulihan dalam FTA ini sebenarnya secara tidak langsung telah mengorbankan segmen utama iaitu medium bercetak.

 

"Kami berpendapat, PKP telah menyebabkan populariti media cetak semakin menurun, dan pengiklan turut menyedari perubahan struktur ini, memandangkan semakin ramai pengguna beralih daripada akhbar fizikal kepada berita elektronik pada peranti pintar.

 

"Ini termasuklah pelanggan yang lebih berusia dan lebih mahir berkongsi berita sama ada yang sahih atau tidak menerusi kenalan mereka menerusi aplikasi mesej segera," jelasnya dalam nota kajian hari ini. 

 

Secara dasarnya, nilai adex bagi FTA dan penguasaan pasaran mencecah paras tertinggi sepanjang tahun lalu. 

 

Pada nilai RM3.5 bilion, adex FTA merangkumi sehingga 71.2% daripada nilai keseluruhan pasaran. 

 

Menurut Kamarul Anwar, lebih banyak peningkatan dalam adex medium ini bagi 2022, yang mana pembukaan semula ekonomi telah mendorong pengiklan untuk berbelanja lebih, setelah menyaksikan peningkatan 16.2% tahun ke tahun bagi adex FTA pada suku keempat 2021.

 

"Pengiklan yang mahu muncul dalam berita media, boleh membeli slot iklan menerusi portal dalam talian yang menelan kos lebih rendah berbanding media cetak. 

 

"Oleh itu, terdapat banyak lagi bajet mereka yang boleh dibelanjakan untuk FTA," katanya.

 

Sehubungan itu, beliau berkata, penilaian yang diberikan terhadap sektor media adalah bersandarkan kepada saham-saham yang memberi fokus kepada media visual dan hiburan, iaitu Astro Malaysia Holdings Bhd. dan Media Prima Bhd. 

 

Kedua-dua saham ini diberi saranan 'tambah' dengan harga sasaran Astro pada RM1.46 manakala Media Prima pula 92 sen. 

 

"Astro merekodkan jumlah pulangan saham dengan hasil tahun kewangan 2022-2023 antara 7.8 hingga 10.5% dengan unjuran purata kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 sebanyak 11.5%. 

 

"Bagi Media Prima pula, kami menjangkakan kumpulan akan keluar daripada kerugian bersih pada tahun kewangan 2021 dan merekodkan pertumbuhan EPS sebanyak 18.1 hingga 43.6% bagi tahun kewangan 2022-2023," katanya. -DagangNews.com