PKP menyeluruh, jejas momentum pertumbuhan - Mustapa | DagangNews Skip to main content

PKP menyeluruh, jejas momentum pertumbuhan - Mustapa

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Mei - Indeks Pelopor (IP) pada Mac 2021 mencatat pertumbuhan lebih kukuh pada 17.3%, berbanding peningkatan pada Januari dan Februari masing-masing 8.2% dan 8.6%, sekali gus mencerminkan prospek ekonomi yang lebih stabil.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, prestasi yang baik ini adalah selaras dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 6% pada Mac 2021.

 

"Sekiranya kerajaan memutuskan untuk melaksanakan total lockdown bermula pada 25 Mei hingga 7 Jun 2021 seperti yang berlaku dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) 1.0, momentum pertumbuhan ini akan terjejas.

 

"Kerajaan menjangkakan ramalan pertumbuhan 2021 antara 6 hingga 7.5% dapat dicapai sekiranya krisis kesihatan ini dapat distabilkan selepas berakhirnya PKP 3.0," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Beliau hari ini melancarkan penerbitan Penunjuk Ekonomi Malaysia (PEM): Indeks Pelopor, Serentak & Susulan bagi Mac 2021 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) secara maya.

 

 

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed

 

 

PEM adalah indikator yang memberi gambaran tentang prospek ekonomi negara bagi 4 hingga 6 bulan ke hadapan.

 

Indikator ini dapat membantu penggubal dasar, pelabur, penyelidik serta masyarakat umum untuk mendapat gambaran tentang hala tuju ekonomi negara dalam tempoh berkenaan. 

 

Menurut Mustapa, berdasarkan prestasi pada Mac 2021, ia menunjukkan kesemua 7 komponen IP mencatatkan peningkatan berbanding Mac 2020.

 

Ini termasuklah bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan melonjak 160.7% manakala import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain turut mencatatkan 129.4%.

 

Selain itu, ia juga mendapati, bilangan syarikat baru berdaftar meningkat sebanyak 105.3%, Indeks Perusahaan Bursa Malaysia meningkat 74.3% dan import benar semikonduktor meningkat 31.3%, penawaran wang benar, M1 turut meningkat 17.1% dan jangkaan nilai jualan di sektor pembuatan meningkat 6.5%.

 

Ekonomi Malaysia pada suku pertama 2021 menyusut secara marginal sebanyak 0.5% berbanding -3.4% yang dicatatkan pada suku keempat 2020. 

 

Pertumbuhan KDNK Januari dan Februari masing-masing mencatatkan penurunan 3.5% dan 3.6% tetapi mengukuh pada Mac kepada pertumbuhan 6%.

 

Prestasi ekonomi ini disokong oleh pengukuhan dalam sektor pembuatan dan pemulihan sektor pertanian. 

 

Dari segi permintaan, trend peningkatan ini mencerminkan pertumbuhan kukuh eksport barangan dan perkhidmatan di samping penurunan kecil dalam perbelanjaan swasta dan pelaburan aset tetap.

 

Mustapa berkata, kerajaan perlu sentiasa mengimbangkan antara nyawa dan kehidupan rakyat, justeru, keputusan untuk melaksanakan PKP 3.0 dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat adalah tepat.

 

Ini kerana katanya, PKP menyeluruh akan menyebabkan kadar penggangguran meningkat dengan mendadak, bilangan isi rumah miskin akan bertambah manakala prestasi syarikat kecil dan besar akan terjejas dan kedudukan fiskal akan berada dalam keadaan yang lebih mencabar.

 

"Semasa libat urus saya dengan wakil-wakil industri, wakil-wakil perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta persatuan-persatuan penjaja pada 22 dan 23 Mei lalu, sebahagian besar daripada mereka bersetuju dengan keputusan Kerajaan untuk melaksanakan PKP 3.0," katanya. - DagangNews.com