Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Okt. - Potensi pendapatan sewa pusat beli-belah CapitaLand Malaysia Mall Trust (CMMT) dijangka terjejas menjelang suku keempat 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Jangkaan itu dibuat oleh dua nota kajian ekonomi iaitu CGS-CIMB Research dan MIDF Research.
CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya berkata, pihaknya memilih untuk mengurangkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) CMMT sebanyak 13% hingga 38%.
Keputusan itu diambil setelah memperhalusi jangkaan penurunan sewa yang lebih rendah untuk pusat beli-belah di sekitar Lembah Klang.
"Kami juga menilai kepada kadar penghuni secara purata yang lebih rendah selain margin pendapatan hartanah bersih (NPI) yang lebih lemah.
"Kami yakin PKPB yang diperluas menambahkan lagi risiko CMMT pada suku keempat 2020 sekali gus menyukarkan pemulihan selepas PKPB," jelas CGS-CIMB Research.
Mengulas perkara sama, MIDF Research memberitahu, pihaknya tidak membuat sebarang perubahan terhadap ramalan pendapatan CMMT.
Jelas MIDF, tindakan itu diambil kerana pihaknya menjangkakan potensi pendapatan sewa pusat beli-belah CMMT adalah lebih rendah pada suku keempat 2020.
Kami mengekalkan saranan 'neutral' saham CMMT dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM0.63.
Sementara CGS-CIMB Research pula menurunkan harga TP CMMT kepada RM0.52 berbanding RM0.65 pada sebelumnya. - DagangNews.com