PKPB risikokan segmen runcit dan hotel Sunway REIT | DagangNews Skip to main content

PKPB risikokan segmen runcit dan hotel Sunway REIT

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH 
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memberi risiko kepada segmen runcit dan hotel Sunway REIT untuk mencatatkan pemulihan yang baik.

 

CGS-CIMB Research berkata, segmen berkenaan dijangka mencatatkan penyusutan sebanyak 70% hingga 80% berbanding sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

"Dengan pelaksanaan dan peluasan PKPB, kami meramalkan tempoh pemulihan yang mencabar untuk segmen runcit dan hotel dengan kejatuhan sebanyak 70% hingga 80% kehadiran pengunjung di pusat beli-belah berbanding sebelum PKP.

 

"Sebanyak 20% hingga 49% kadar penghuni hotel pada akhir September tidak mungkin dicapai pada suku keempat tahun semasa kewangan 2020," jelas CGS-CIMB Research.

 

Sunway REIT mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM34.4 juta pada tiga bulan pertama tahun kewangan 2021.

 

Keuntungan bersih pada suku pertama 2021 itu berada di bawah jangkaan pihak CGS-CIMB Research yang dipengaruhi oleh pendapatan sewa lemah untuk aset runcit dan hotel.

 

Keuntungan itu menurun 56% disebabkan oleh penurunan 31% pendapatan berbanding tahun sebelumnya disebabkan oleh bantuan sewa yang berterusan dan kadar penghunian hotel yang lemah.

 

Pendapatan untuk aset runcit dan hotel menurun sebanyak 26% hingga 88% berbanding tahun lalu pada suku pertama 2021 kerana kekurangan jumlah sewa dan pengunjung selain kehilangan perniagaan akibat kekurangan perjalanan pelancong.

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, pihaknya menjangkakan prospek bahagian runcit lebih mencabar dalam waktu terdekat akibat pertambahan semula jumlah kes COVID-19 di negara ini.

 

"Trafik pembeli dijangka kembali merosot dan merosakkan penjualan sewa.

 

"Sementara itu, prospek segmen hotel tetap lemah kerana sempadan Malaysia masih ditutup. Selain itu, pendapatan bahagian hotel pada tahun kewangan 2021 dijangka terjejas oleh pembaikan Sunway Resort Hotel," jelas MIDF Research. - DagangNews.com