PKS hadapi margin keuntungan rendah disebalik pemulihan pandemik - SAMENTA | DagangNews Skip to main content

PKS hadapi margin keuntungan rendah disebalik pemulihan pandemik - SAMENTA

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Okt - Walaupun kebanyakan PKS semakin pulih dari pandemik COVID-19, ramai masih menghadapi margin keuntungan yang nipis dan kekangan aliran tunai, menurut Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA).

 

Tinjauan Pertengahan Tahun SAMENTA mendapati, sejumlah 29% PKS yang mengambil bahagian dalam tinjauan itu mengatakan mereka mempunyai rizab tunai kurang dari 2 bulan, walaupun 60% melaporkan peningkatan prestasi perniagaan.

 

Menurut persatuan tersebut, lebih 500 PKS mengambil bahagian dalam tinjauan yang dijalankan pada September lepas.

 

Selain margin keuntungan yang nipis, PKS juga melaporkan kesukaran untuk mendapatkan pinjaman, dengan 35% responden mengakui bahawa mereka tidak dapat memperoleh sebarang pembiayaan kerana kekurangan cagaran, proses permohonan yang rumit, kadar faedah tinggi dan kekurangan sejarah kredit.

 

Presiden SAMENTA, Datuk William Ng berkata, cabaran nombor satu bagi PKS adalah margin perniagaan yang rendah disebabkan kebergantungan kepada tenaga buruh, peningkatan kos bahan mentah, dan kekurangan automasi.

 

 

samenta
Datuk William Ng

 

 

"Ini seterusnya menjejaskan produktiviti dan keuntungan. PKS memerlukan bantuan segera dari kerajaan untuk meningkatkan daya saing dan menaiki rantaian nilai. 

 

"Bantuan dalam bentuk geran kecil sudah terbukti kurang efektif dan hanya akan memburukkan lagi keadaan, kerana ini mengakibatkan kerbegantungan kepada bantuan geran, tatkala margin keuntungan semakin merosot," katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

 

 

 

Ng berkata, selain margin keuntungan rendah dan kekangan aliran tunai, tinjauan tersebut turut menekankan bahawa cabaran utama PKS adalah kos input yang semakin meninggi, permintaan domestik yang lemah, ringgit lemah berbanding mata wang asing, kekurangan pekerja mahir dan peningkatan penguatkuasaan kawal selia.

 

Katanya, tidak mengejutkan, isu-isu penting seperti alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) tidak diberikan keutamaan oleh PKS, tatkala PKS masih bergelut dengan isu-isu asas seperti keuntungan dan pekerja. 

 

"Salah satu kekangan yang boleh disemak semula adalah definisi PKS. Had jualan tahunan RM50 juta dan RM20 juta masing-masing untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan adalah terlalu rendah. 

 

"Pekilang dengan angka jualan RM100 juta setahun berkemungkinan menghadapi cabaran yang sama seperti pekilang pada tahap RM50 juta. Sebagai perbandingan, di Singapura, PKS didefinisikan sebagai sebarang perniagaan dengan jualan di bawah S$100 juta.

 

“Apabila kerajaan faham bahawa objektif kita adalah untuk membina PKS yang berdikari dan berdaya saing, dan bukannya sekadar memberikan imbuhan kecil kepada peniaga mikro, kita dapat menumpukan usaha kerajaan untuk membantu PKS meningkatkan kapasiti dan keupayaan mereka. 

 

Katanya, tumpuan harus diberikan untuk membantu PKS meningkatkan rantaian nilai, supaya kita dapat mengatasi gejala-gejala seperti kekurangan buruh, peningkatan kos bahan mentah dan gangguan pasaran.

 

Persatuan tersebut juga merayu kepada kerajaan untuk mengekalkan atau menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) memandangkan ringgit yang masih lemah dan mengambil langkah lebih drastik untuk merancakkan ekonomi dan meningkatkan keyakinan pelabur.

 

"Kerajaan tidak harus mengelak dari membuat keputusan tegas walaupun mungkin sensitif dari segi politik, seperti memperkenalkan semula cukai perbelanjaan meluas, pembaharuan dan rasionalisasi subsidi dan pencen, dan menghentikan ketirisan dalam sektor awam," katanya.

 

Tambah Ng, lebih banyak tumpuan juga diperlukan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna dikalangan M40, untuk merangsang perbelanjaan domestik. - DagangNews.com