Platform digital Idea Bina Negara terima lebih 12,000 pendapat anak muda - PM | DagangNews Skip to main content

Platform digital Idea Bina Negara terima lebih 12,000 pendapat anak muda - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan mahasiswa ketika Majlis Perasmian IBN 2022 di UiTM Shah Alam, Selangor pada 4 Oktober 2022. - Gambar BERNAMA
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

SHAH ALAM 4 Okt - Platform digital Idea Bina Negara (IBN) yang membolehkan ahli Keluarga Malaysia terutamanya golongan belia mengemukakan idea dan inspirasi mereka ke arah pembangunan negara telah menerima lebih 12,000 pandangan daripada anak muda seluruh negara.  

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan data dan maklumat yang diperolehi ini akan membantu kerajaan untuk menyediakan inisiatif dan insentf yang bersesuaian kepada anak-anak muda.

 

Beliau amat berbesar hati kerana penyumbang idea terbesar sebanyak 5.79% adalah dalam kalangan belia berusia lingkungan 18 hingga 21 tahun.

 

Jelasnya, dalam usaha memperkukuhkan semangat Keluarga Malaysia, kerajaan sentiasa peka dan prihatin terhadap belia dan anak muda dengan memastikan luahan suara mereka sentiasa didengari dan diberikan perhatian.

 

"Ini kerana anak-anak muda mempunyai idealisme yang sangat penting kerana mereka didedahkan idea-idea yang lebih progresif yang diperolehi melalui input internet sama ada dari dalam mahupun luar negara. "‘INI SUARA KITA’, slogan ini menjadi identiti IBN bagi memastikan input suara belia dan anak muda didengari dan meningkatkan semangat patriotik dan nasionalisme agar Malaysia menjadi lebih progresif.

 

"Saya percaya, inisiatif platform digital IBN ini telah membuka ruang kepada seluruh anak muda untuk menyalurkan idea dan menyuarakan permasalahan kepada kerajaan. Sesungguhnya, kerajaan memerlukan sokongan padu golongan belia dan anak muda untuk membangunkan Malaysia, katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian IBN 2022 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini. 

 

Ismail Sabri berkata, beliau yakin dengan mengambil cakna terhadap suara, solusi dan aspirasi anak muda kepada kerajaan, ia mampu untuk bersama-sama menjayakan agenda besar pemulihan negara.

 

 

pm

 

 

"Suara anak muda Malaysia - kami dengar, kami cakna dan kami santuni. Melalui analisis teks menggunakan teknologi kepintaran buatan (atau Artificial Intelligence) menunjukkan idea-idea yang diajukan melalui aplikasi IBN ini bersifat positif dan membina.

 

"Sebanyak 12% anak muda telah menyuarakan tentang isu politik dengan menyentuh aspek kestabilan, prestasi kerajaan serta kualiti dan kematangan pemimpin," katanya.

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan amat prihatin terhadap isu peluang pekerjaan yang menghantui golongan anak muda masa kini, lebih-lebih lagi terdapat 46.2% hanya memperoleh pendapatan bulanan kurang daripada RM2,500 sebulan.

 

Sehubungan itu katanya, kerajaan telah memperkenalkan inisiatif perantis lepasan sekolah dan graduan yang membenarkan majikan untuk menggaji pekerja berusia 18 hingga 30 tahun dengan menyediakan insentif berjumlah RM900 sebulan.

 

 

pm

 

 

"Kerajaan turut memperkenalkan pelan pembiayaan berjumlah RM150 juta yang disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional dan Agrobank khusus untuk golongan belia yang ingin menceburi bidang keusahawanan," katanya.

 

Ismail Sabri berkata, peruntukan RM4.8 bilion telah disalurkan menerusi inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia yang memberikan 600,000 peluang pekerjaan kepada golongan muda bagi membantu memperkukuhkan ekonomi belia.

 

Beliau berkata, kerajaan juga telah mengumumkan kenaikan kadar minimum Elaun Sara Hidup (ESH) dari minimum RM650 ke maksimum RM950 sebulan bagi pelajar dalam negara dan minimum RM1,380 sebulan ke maksimum RM7,600 sebulan bagi pelajar luar negara dari pelbagai peringkat pengajian.

 

 

pm

 

 

"Kerajaan turut mengambil inisiatif menyediakan peruntukan sebanyak RM300 juta menerusi Program ePemula iaitu Skim Transaksi Tanpa Tunai yang dimanfaatkan oleh golongan anak muda berusia 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa pada pelbagai peringkat di institusi pengajian tinggi," katanya.

 

Tambahnya, beberapa inisiatif seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan projek Perkhidmatan Jalur Lebar Tanpa Wayar di seluruh negara telah dilaksanakan menerusi pembinaan lima menara telekomunikasi baharu, lengkap dengan rangkaian 4G serta memastikan hampir 4,000 premis dilengkapi dengan gentian optik.

 

Katanya, bagi memenuhi kehendak era Pendidikan 5.0 serta mendorong budaya kerja cemerlang, kreatif dan inovatif, kerajaan akan memastikan kemudahan dan infrastruktur institusi pendidikan sentiasa dinaik taraf dengan pelbagai pembaharuan. - DagangNews.com