Platform perkongsian kereta TREVO salur RM2 juta bantu pemilik kenderaan | DagangNews Skip to main content

Platform perkongsian kereta TREVO salur RM2 juta bantu pemilik kenderaan

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. -   Platform perkongsian kereta rangkaian rakan ke rakan (P2P) dan anak syarikat SOCAR Mobility Malaysia (SOCAR), TREVO memeperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi menyediakan bantuan kewangan kepada pemilik kenderaan di bawah Fasa 1 kajian Pembuktian Konsep (POC) yang diumumkan baru-baru ini. 

Bantuan kewangan berkenaan akan disalurkan kepada 10,000 pemilik kenderaan atau Hos baharu (setiap Hos menerima RM200) di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu yang mendaftar dengan TREVO.

Selain itu, Hos perlu membolehkan kereta mereka ditempah selama sekurang-kurangnya 14 hari setiap bulan untuk memenuhi syarat kelayakan. Pendaftaran Hos dibuka kepada semua rakyat Malaysia yang memiliki kereta berusia tidak lebih 12 tahun pada 31 Disember 2020. 

Ketua Pegawai Eksekutif SOCAR Mobility Malaysia, Leon Sing Foong berkata, selain insentif sebanyak RM200 berkenaan, pihaknya mahu rakyat Malaysia memanfaatkan peluang untuk menjadikan aset mereka sebagai penjana pendapatan berulang. 

“Menerusi pelaburan ini, TREVO gembira dapat bekerjasama dengan kerajaan dalam memperkenalkan manfaat perkongsian kereta P2P kepada lebih ramai rakyat Malaysia dan memacu pertumbuhan ekonomi perkongsian dengan memberikan insentif kepada pemilik kereta untuk menyenaraikan kereta mereka pada platform TREVO. 

“Tahun 2020 banyak mencabar kita semua dan ramai yang menghadapi masalah ketidaktentuan pendapatan dan pada masa sama perlu menanggung beban perbelanjaan bulanan seperti bil penyelenggaraan kereta, pembaharuan insurans dan pembayaran ansuran pinjaman. Kami ingin menampilkan TREVO sebagai peluang untuk rakyat Malaysia menangani situasi kewangan mereka dan mula menjadikan kenderaan yang kurang digunakan sebagai penjana pendapatan tambahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

TREVO
DARI kiri, Susan Teoh, Wee Ka Siong dan Leong Sing Fong pada majlis pelancaran TREVO Lighthouse Activation Centre.

 

Pengumuman bantuan kewangan itu diumumkan pada majlis pelancaran TREVO Lighthouse Activation Centre, yang disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, diiringi oleh Sing Foong dan Pengurus Besar TREVO, Susan Teoh. 

POC TREVO yang diumumkan baru-baru ini untuk membuktikan kelestarian konsep perkongsian kereta P2P di Malaysia dan mengukuhkan lagi peranannya di dalam keseluruhan ekosistem mobiliti.

Sementara itu, Ka Siong ketika berucap pada majlis pelancaran berkenaan berkata, kementerian mengalu-alukan lebih banyak syarikat swasta mengambil bahagian dalam kajian POC seperti yang dilakukan oleh TREVO, kerana ia selaras dengan wawasan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 untuk menggalakkan penglibatan orang awam dan pihak berkepentingan dalam membangunkan inisiatif pengangkutan. 

“Kami amat menghargai usaha seperti pelaburan RM2 juta oleh TREVO ke dalam program Bantuan Kewangan mereka, kerana ia sejajar dengan pelan Penjana oleh kerajaan yang bertujuan membantu rakyat menghadapi situasi ekonomi serba mencabar ini. 

“Pelaburan sosial dan kajian POC yang memacu konsep mobiliti ini menjadi contoh baik kerjasama swasta-awam, di mana syarikat-syarikat boleh bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha memajukan ekonomi dalam segmen-segmen yang berkaitan,” katanya. 

TREVO menawarkan platform yang menghubungkan pengguna dengan pemilik kereta, membolehkan pengguna menempah mana-mana kereta yang memenuhi keperluan mobiliti selain menawarkan pendapatan tambahan kepada Hos.

Pemilik kereta boleh membiayai sehingga 85% ansuran pinjaman dengan hanya menyewakannya pada platform TREVO untuk sekurang-kurangnya 10 hari sebulan dan mempunyai kelonggaran untuk menetapkan harga tempahan selagi berada di dalam julat harga yang ditunjukkan oleh algoritma TREVO.

Ketika ini, TREVO mempunyai lebih 70,000 ahli dan lebih daripada 1,500 kereta yang disenaraikan, merangkumi 150 model daripada 30 jenama pengeluar kereta, antaranya Perodua Axia dan Perodua Myvi hinggalah Porsche, BMW dan banyak lagi. - DagangNews.com