Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Nov. - Teknologi permainan yang menjadi dambaan ramai, PlayStation 5 (PS5) akan menemui peminatnya di Malaysia pada bulan hadapan.
Sony Interactive Entertainment Singapore Private Limited (SIES) berkata, PS5 akan mula dilancarkan di negara ini pada 11 Disember 2020.
"Edisi digital PS5 akan tersedia dengan harga runcit yang disyorkan iaitu RM1,869 bagi PS5 Digital Edition.
"Manakala edisi PS5 Ultra HD Blue-Ray Disc Drive pula akan dipasarkan dengan harga RM2,299," jelas SIES dalam satu kenyataan di laman web rasminya.
Kedua-dua model PS5 itu menggunakan pemprosesan khusus yang sama seperti CPU dan GPU yang disepadukan bagi menghasilkan grafik yang berkualiti tinggi hingga 4K.
Teknologi permainan itu juga turut dilengkapi dengan SSD berkelajuan tinggi bersama 1/0 yang mampu memberi kepantasan dalam pemprosesan dan muatan.
Kedua-dua edisi berkenaan menawarkan pengalaman kawalan dan penggunaan yang hebat melalui alat kawalan tanpa wayar DualSense serta kemampuan audio 3D untuk memberi pengalaman permainan transformatif yang sama.
Tambah SIES lagi, tempahan awal PS5 boleh dibuat bermula hari ini (Khamis, 12 November).
"Waktu untuk membuat tempahan awal secara dalam talian atau luar talian akan berbeza bergantung kepada waaktu operasi peruncit," tambah SIES lagi.
Dalam kenyataan yang sama, SIES turut menyenaraikan beberapa aksesori tambahan PS5 yang turut dijual dan dibuka untuk tempahan awal pada hari ini.
Senarai barangan aksesori dan harga adalah seperti berikut;
- DualSense Wireless Controller – RM349
- PULSE 3D wireless headset – RM469
- HD Camera – RM279
- Media Remote – RM149
- DualSense Charging Station – RM149. - DagangNews.com