PLUS jimat kos RM68.16 juta guna inovasi | DagangNews Skip to main content

PLUS jimat kos RM68.16 juta guna inovasi

 

 

KUALA LUMPUR 11 Mei - Sebagai pengendali lebuh raya terbesar di negara ini, PLUS mempunyai komitmen tinggi dalam memastikan budaya inovasi dapat dipupuk di setiap lapisan warga kerja. 

 

Ini termasuklah kakitangan barisan hadapan seperti pembantu khidmat pelanggan dan PLUSRonda sehinggalah kepada peringkat pengurusan.

 

Matlamat ini selaras dengan misi PLUS yang memberi fokus kepada menyediakan rangkaian lebuh raya yang cekap dan selamat bagi meningkatkan kualiti keselamatan pelanggan.  

 

Salah satu program yang diperkenalkan oleh PLUS bagi menggalakkan budaya inovasi terus berkembang dan digiatkan secara aktif adalah Program PLUS Team Excellence. 

 

Program ini bukan sahaja dapat merealisasikan komitmen PLUS kepada pelanggan mereka iaitu 'Kami Menjaga Anda Sepanjang Perjalanan' tetapi turut berjaya merekodkan penjimatan kos operasi sebanyak RM68.16 juta bermula sejak 2018 hingga 2020. 

 

Pekerja di PLUS bukan sahaja berpeluang menyumbang idea, tetapi diberi pendedahan secara komprehensif tentang cara menentukan masalah dan penyelesaian  secara inovatif dan sistematik melalui program PLUS Team Excellence.

 

Penerapan budaya inovasi di kalangan semua lapisan pekerja di PLUS dilaksanakan secara holistik yang melibatkan peruntukan yang spesifik untuk menampung perbelanjaan aktiviti inovasi sepanjang tahun. 

 

Tiga elemen utama di dalam memastikan PLUS sentiasa mencipta kejayaan melalui projek inovasi adalah di mana setiap pekerja perlu mempunyai tahap kompetensi yang tinggi, minda inovasi dan bersedia untuk berubah. 

 

Selain itu, proses kerja sedia ada perlu ditambahbaik menggunakan teknologi terkini untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan bekerja.

 

Elemen terakhir pula adalah produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mempunyai ciri inovasi dan dipacu oleh teknologi, mudah digunakan dan melangkaui jangkaan pelanggan mereka.  

 

Seiring dengan pembangunan yang pesat di dalam teknologi digital, program inovasi PLUS kini turut memfokuskan kepada transformasi digital I4WRD bagi mencapai matlamat ‘Toll of Tomorrow’ yang bertujuan untuk pemodenan perkhidmatan sistem lebuh raya dan sistem tol. 

 

Transformasi digital PLUS yang berteraskan modal insan ini adalah sangat penting bagi membina bakat dan mengubah cara kerja pasukan PLUS menerusi penggunaan teknologi tinggi. 

 

Inisiatif transformasi digital ini dapat meningkatkan kecekapan bekerja dan seterusnya menambah baik pengalaman dan kepuasan pelanggan mereka.  

 

Pemangku Ketua, Pengurusan Kualiti dan Pemantauan Konsesi, Adila Mustapa, PLUS terlibat secara aktif dalam Konvensyen Team Excellence (TE) anjuran MPC sejak 2003.  

 

Pada 2012, PLUS mula terlibat secara aktif sehingga kini di mana pada tahun lalu, terdapat 50 penyertaan projek inovasi di dalam Konvensyen TE dan dari jumlah tersebut, 21 projek inovasi telah menerima anugerah di peringkat kebangsaan. 

 

PLUS terus melakar sejarah apabila 12 projek inovasi telah berjaya menerima anugerah di peringkat Team Excellence Antarabangsa.

 

Menurut Pengarah Bahagian Pembangunan Kecemerlangan Organisasi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Roziana Othman, PLUS juga telah berkongsi amalan terbaik dalam pembudayaan inovasi di PLUS anjuran MPC secara atas talian yang dihadiri seramai 350 peserta daripada pelbagai sektor. - DagangNews.com