KUALA LUMPUR 30 Ogos - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 dengan cara tersendiri apabila semua kawasan rehat dan rawat (R&R) sepanjang jajaran lebuh raya kendaliannya bukan sahaja dihiasi dengan Jalur Gemilang, malah pelbagai hiasan menarik bertemakan kemerdekaan negara.
Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, pelanggan yang singgah di R&R PLUS bukan sahaja berpeluang untuk berehat seketika dan menjamu selera, malah boleh melihat sendiri serta merasai keceriaan suasana sambutan Hari Kemerdekaan di kawasan itu.
Beliau berkata, suasana patriotik di R&R diwujudkan dengan kerjasama rakan-rakan niaga kami dan pejabat-pejabat seksyen PLUS di sepanjang lebuh raya.
"Paling menarik, kebanyakan hiasan kemerdekaan di R&R dan hentian sebelah adalah hasil kreativiti masing-masing dan menggunakan barangan yang dikitar semula.
"Ia selaras dengan matlamat PLUS dalam memastikan kelestarian kawasan sekitar di mana kami beroperasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azman berkata, bangga menjadi Rakan Negara, ibu pejabat di Persada PLUS turut megah dengan sebuah Jalur Gemilang gergasi berukuran 160 kaki yang boleh dilihat dengan jelas dari Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), yang bertujuan meniup semangat patriotisme dalam kalangan pengguna lebuh raya.
Beliau berkata, PLUS sebagai Aset Strategik Negara akan terus komited memberikan sokongan dan memainkan peranan kami terhadap pembangunan negara.
"Oleh itu, kami berharap usaha ini dapat memupuk semangat patriotisme dalam pelanggan lebuh raya kami ketika mereka menggunakan lebuh raya kami sepanjang bulan sambutan ini.
“Kami mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kepada semua Keluarga Malaysia. Kami mendoakan perjalanan yang selamat untuk semua,” katanya.
Sejak 34 tahun lalu, PLUS telah memainkan peranannya sebagai Rakan Negara, mengendalikan satu rangkaian lebuh raya ang merapatkan dan menghubungkan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Rangkaian Lebuhraya PLUS sepanjang 1,130 kilometer adalah nadi kepada sistem pengangkutan di negara ini walaupun ketika negara berhadapan dengan krisis pandemik COVID-19 sehinggalah fasa peralihan endemik yang dilalui pada ketika ini.
Kini, langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dengan sokongan yang diberikan rakyat telah membolehkan negara meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 pada 31 Ogos yang akan datang. - DagangNews.com