PLUS tutup sementara susur Bandar Serenia, Nilai dari Plaza Tol KLIA di Lebuhraya ELITE | DagangNews Skip to main content

PLUS tutup sementara susur Bandar Serenia, Nilai dari Plaza Tol KLIA di Lebuhraya ELITE

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Dis - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup sementara jalan susur yang menuju ke Bandar Serenia, Nilai dan arah Selatan dari Plaza Tol KLIA di Lebuhraya ELITE kepada semua kenderaan pada 13 Disember hingga 16 Disember 2022 bermula pukul 10 malam hingga 5 pagi.

 

Penutupan itu adalah untuk membolehkan kerja-kerja penebangan pokok-pokok besar,  membersih dan mengeluarkannya menggunakan jentera khas dijalankan  dengan selamat di kawasan tersebut.

 

"Sehubungan itu, pengguna lebuh raya daripada Plaza Tol KLIA yang menghala ke Bandar Serenia, Nilai dan arah selatan dinasihatkan untuk menggunakan laluan ke Plaza Tol Bandar Gamuda Cove. 

 

"Seterusnya, membuat pusingan-U sebelum memasuki semula lebuh raya untuk perjalanan menghala ke Bandar Serenia, Nilai dan arah Selatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka, menggunakan laluan alternatif dan mengikut nasihat keselamatan kakitangan PLUS.

 

PLUS berterima kasih dan menghargai kerjasama semua pengguna lebuh raya sepanjang tempoh penyelenggaraan dan sokongan mereka dalam memastikan aliran trafik berjalan lancar. - DagangNews.com