Plytec, CIDB E-Construct Services jalin kerjasama percepat transformasi digital dalam industri pembinaan | DagangNews Skip to main content

Plytec, CIDB E-Construct Services jalin kerjasama percepat transformasi digital dalam industri pembinaan

Ketua Pegawai Eksekutif CIDB, Datuk Mohd. Zaid Zakaria (tiga dari kiri) dan Pengerusi Plytec, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali (tiga dari kanan) betukar dokumen semasa majlis menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) di CIDB myBIM Centre, Kuala Lumpur.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Jan - Plytec Holding Berhad menerusi BIM Engineering Solution & Technology Sdn Bhd (BEST) bersama CIDB E-Construct Services Sdn. Bhd. (CIDBEC) iaitu anak syarikat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menjalinkan kerjasama sebagai usaha mempercepatkan transformasi digital dalam industri pembinaan.

 

Jalinan kerjasama selama tiga tahun bermula 3 Januari 2024 itu antara lain bertujuan memperkasaskan Perpustakaan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan ekosistem penggunaan teknologi digital

 

Kerjasama antara BEST dan CIDBEC adalah bagi mempercepatkan transformasi digital industri perkhidmatan dan pembinaan profesional, dengan tumpuan kepada pembangunan bandar pintar melalui pelaksanaan teknologi BIM.

 

Ia juga akan memudahkan penyeragaman sistem pengurusan maklumat digital, perkongsian amalan terbaik industri, inovasi produk dan sumber teknikal terkini.

 

Selain itu ia juga akan memupuk kerjasama merentas industri kepada program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) negara dan inisiatif pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui myBIM selain mempercepatkan kesediaan industri bagi melaksanakan BIM E-Submission (NBeS) Kebangsaan.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BEST, Yan Kian Lock berkata, pihaknya teruja untuk menyokong CIDB bagi meningkatkan penggunaan perpustakaan BIM nasional atau Perpustakaan myBIM ke peringkat seterusnya serta memudahkan penggunaan maklumat digital dan Pengurusan Fasiliti pintar.

 

"Kami komited membawa anjakan transformatif dalam cara pengurusan fasiliti bagi memastikan bukan sahaja kecekapan operasi tetapi juga penyepaduan teknologi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan E-Construct CIDB, Rofizlan Ahmad berkata, selain menggabungkan kepakaran dan sumber dengan penggunaan BIM serta rumusan digital lain sebagai norma baharubagi memupuk inovasi.

 

"Pelaksanaan Perpustakaan myBIM akan menawarkan tahap kemudahan dan kecekapan baharu dalam industri pembinaan," katanya. - DagangNews.com