PM Ismail Sabri diberi sambutan permaidani merah di Vietnam | DagangNews Skip to main content

PM Ismail Sabri diberi sambutan permaidani merah di Vietnam

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima jambangan bunga sebaik sahaja tiba untuk acara sambutan rasmi di Presidential Palace, Hanoi yang diiringi Perdana Menteri Vietnam, TYT Pham Minh Chinh.
Oleh Suriati Sidek Ahmad

HANOI 21 Mac - Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Vietnam, disambut dengan hamparan permaidani merah sebaik tiba di perkarangan Istana Presiden di sini hari ini.

 

Ketibaan beliau disambut oleh rakan sejawatnya dari Vietnam Pham Minh Chinh, dan beliau diberikan sambutan rasmi sebaik tiba.

 

Lagu kebangsaan Malaysia “Negaraku” dan lagu kebangsaan Vietnam “Tien Quan Ca” dimainkan pada majlis ini, dan beliau diiringi oleh Chinh untuk memeriksa perbarisan kawalan kehormat.

 

Kedua-dua pemimpin kemudiannya menuju ke Pejabat Perdana Menteri untuk sesi bergambar di lobi bangunan Pejabat Kerajaan, sebelum berlalu ke bilik mesyuarat bagi menyaksikan sesi pertukaran dokumen, Bernama melaporkan.

 

Dokumen berkenaan melibatkan memorandum persefahaman (MOU) berhubung aktiviti kerjasama perundangan dan kerjasama perburuhan, pengambilan serta penghantaran pulang pekerja, surat niat berhubung kerjasama dalam latihan diplomatik serta perjanjian kerjasama profesional Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan Agensi Berita Vietnam (VNA).

 

Ismail Sabri dan rombongannya kemudian akan menghadiri majlis makan tengah hari rasmi yang dihoskan oleh Chinh di bangunan Pejabat Kerajaan.

 

Pada sebelah petangnya Perdana Menteri dijadualkan mengadakan perjumpaan dengan Presiden Vietnam Nguyen Xuan Phuc, diikuti perjumpaan dengan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam Nguyen Phu Trong, dan kemudiannya bertemu Pengerusi Dewan Rakyat (Chairman of the National Assembly)  Vuong Dinh Hue.

 

Kunjungan sulung Perdana Menteri ke Vietnam ini adalah atas undangan Chinh.

 

Ismail Sabri dijadualkan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pagi Selasa selepas mengadakan persidangan media dengan media Malaysia.


 

PM

 


Malam tadi sebaik tiba di Hanoi, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan wakil pengurusan tertinggi beberapa konglomerat Vietnam termasuk yang berhasrat mengembangkan perniagaan di Malaysia.



Presiden Dewan Perniagaan Malaysia (MBC) Vietnam Datuk Theng Bee Han memperkenalkan wakil-wakil syarikat itu.



Antara yang hadir adalah Naib Presiden Sovico Group Dr. Dinh Viet Phuong, Pengerusi Hoa Binh Construction Le Viet Hai dan Pengarah Urusan GAMI Group Pham Hai Minh
 

Sovico Group merupakan konglomerat swasta utama Vietnam yang terlibat dalam pelbagai industri termasuk syarikat penerbangan tambang murah Vietjet Air manakala Hoa Binh Construction Group merupakan syarikat pembinaan terkemuka dengan lebih 31,000 pekerja.
 

Gami Group pula terkenal dalam tiga bidang utama iaitu hartanah, taman tema dan perdagangan termasuk mengimport kenderaan untuk pasaran di Vietnam. - DagangNews.com