PM - Kabinet akan bincang keperluan wajibkan suntikan vaksin COVID-19 | DagangNews Skip to main content

PM - Kabinet akan bincang keperluan wajibkan suntikan vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR 16 Okt - Kerajaan masih mengkaji keperluan untuk mewajibkan pengambilan suntikan vaksin COVID-19 sebelum dibawa ke Kabinet untuk dimuktamadkan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, walaupun pengambilan pelalian itu belum diwajibkan, namun beliau menggesa dan menggalakkan semua pihak berbuat demikian demi kebaikan bersama.

 

Setakat ini, katanya, jumlah yang enggan mengambil vaksin COVID-19 bukan atas sebab kesihatan hanyalah kira-kira satu peratus.

 

"Ramai yang marah kenapa kita nak memaksa dan menghukum (yang tidak mahu vaksin). Saya nak beritahu setakat semalam sudah 92% (rakyat dewasa) mendapat vaksin, yang mendapat satu dos sudah 95%.

 

"Yang tak nak vaksin hanya lebih kurang satu peratus sahaja. Dari segi prinsip kerajaan, kita menjaga kepentingan ramai berbanding melindungi kepentingan (kelompok) yang sangat sedikit," katanya, lapor BH Online.

 

Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau penyelenggaraan lif di Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul, pagi ini.  Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.

 

Sementara itu, beliau berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan sebanyak RM127 juta bagi menggantikan semua lif lama di PPR dan PA terbabit. 

 

Ismail Sabri berkata kerja-kerja penggantian lif itu dijangka dimulakan awal tahun depan selepas proses perolehan kontrak selesai. 

 

"Di mana-mana PPR pun lif ini sangat penting untuk pergerakan penduduk dan kerajaan memandang serius masalah ini (lif lama dan rosak). 

 

"Saya berharap proses perolehan dapat dipercepatkan dan jangka masa (kerja penggantian lif) mungkin setahun hingga dua tahun bergantung kepada kontrak dan jumlah blok bagi setiap PPR," katanya.

 

Ismail Sabri berkata daripada keseluruhan peruntukan oleh DBKL itu, sebanyak RM8.4 juta disalurkan kepada PA Seri Perak bagi kerja-kerja penggantian 14 unit lif di 2/4 tujuh blok kawasan perumahan tersebut yang telah berusia 35 tahun. 

 

Selain itu, katanya DBKL juga memperuntukkan RM1.8 juta bagi tujuan pendawaian elektrik di PA Seri Perak. 

 

Beliau berkata, di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), kerajaan memperuntukkan RM15 juta bagi kerja-kerja menaik taraf dan membaiki kemudahan seperti longkang, kaki lima, taman permainan kanak-kanak dan gelanggang futsal di semua PPR dan PA di Kuala Lumpur. 

 

Ditanya mengenai masalah kekurangan tempat meletakkan kenderaan di kawasan PPR dan PA, perdana menteri berkata kerajaan sedang meneliti beberapa kaedah untuk mengatasi masalah tersebut termasuk cadangan membina bangunan meletak kenderaan bertingkat.  - DagangNews.com