KUALA LUMPUR 5 Jun - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) segera membentangkan perkembangan terkini penggubalan akta berkaitan alam sekitar, pada mesyuarat Kabinet Rabu ini.
Perdana Menteri berkata, ini kerana Malaysia sudah sekian lama membincangkan perihal penggubalan akta berkaitan alam sekitar, namun pihaknya belum menerima sebarang maklum balas terperinci mengenainya.
"Saya akan tekankan supaya undang-undang alam sekitar ini perlu disegerakan pada mesyuarat Kabinet Rabu ini, kerana kita tahu banyak pencerobohan dan sebagainya yang berlaku.
"Di sini (Taman Tugu Negara) contohnya, difahamkan adalah tempat pembuangan sampah haram. Sepatutnya kawasan hutan hujan ini dijaga dengan baik, tetapi dijadikan tempat pembuangan sampah.
"Perkara seperti inilah yang memerlukan undang-undang khas supaya tiada pelanggaran berkaitan alam sekitar," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini.
Berdasarkan cadangan, pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) oleh KASA bertujuan menaikkan denda maksimum sehingga RM10 juta kepada pelaku jenayah pencemaran alam sekitar.
AKAS 1974 digubal untuk mencegah, menghapus, mengawal pencemaran, membaiki alam sekeliling dan bagi maksud yang berkaitan dengannya, dengan lima perkara utama diperuntukkan di bawah akta ini ialah pencemaran udara, pencemaran bunyi bising, pencemaran air, pencemaran tanah serta kawalan buangan terjadual.
Minggu lalu, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata, pihaknya dijangka membentangkan pindaan AKAS 1974 pada sidang Parlimen akan datang dalam usaha memperkasa penguatkuasaan alam sekitar.
Beliau memaklumkan draf pindaan akta itu kini berada di Pejabat Peguam Negara sebelum dibentangkan di Parlimen.
Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, komitmen dan kerjasama serantau serta antarabangsa diperlukan bagi menangani pelbagai cabaran akibat perubahan iklim kini.
Beliau berkata, Malaysia komited memenuhi visi mencapai tahap karbon sifar menjelang 2050, termasuk menggubal undang-undang berkaitan perubahan iklim, sebagaimana dinyatakan pada Persidangan Nikkei di Jepun, baru-baru ini.
Justeru katanya, Malaysia akan bekerjasama dengan negara Asia yang berkongsi visi 'Asia Zero Emission Community', selari komitmen negara ketika Persidangan Perubahan Iklim 21 di Paris, Perancis, pada 2015.
Beliau berkata, ia bertujuan membendung pemanasan global dengan mengekalkan purata peningkatan suhu global abad ini di bawah dua darjah celcius.
"Bagi menyokong visi dan komitmen alam sekitar itu, Malaysia juga meletakkan sasaran jangka panjang. Antaranya, kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 31 peratus menjelang 2025 dan 40 peratus menjelang 2035.
"Selain itu, mengekalkan sekurang-kurang 50 peratus liputan hutan negara serta melaksanakan kaedah 'natural-based solution' seperti menanam 100 juta pokok dan meningkatkan kadar kitaran semula kepada 40 peratus menjelang 2025," katanya ketika berucap merasmikan Hari Alam Sekitar Sedunia.
Yang turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; serta Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias. - DagangNews.com