PM : Moratorium untuk semua, automatik 6 bulan | DagangNews Skip to main content

PM : Moratorium untuk semua, automatik 6 bulan

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Moratorium selama enam bulan akan diberi kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro mulai 7 Julai ini.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, semakan sama ada hilang pekerjaan atau tidak dan dokumen perlu dikemukakan untuk permohonan moratorium kerana kelulusan akan diberikan secara automatik. 

 

Katanya, kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank. 

 

 

Pemulih

 

Di bawah kemudahan ini, jelasnya, peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan. 

 

"Saya berharap inisiatif moratorium ini dapat sedikit sebanyak membantu peminjam individu dan PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka semasa tempoh yang mencabar ini. 

 

"Bagaimanapun, saya juga ingin berpesan gunalah tawaran ini dengan sebaik-baiknyanya dan jika tidak mendesak, janganlah membuat tambahan komitmen kewangan lain," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan petang ini bagi mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bernilai RM150 bilion.

 

Di bawah Pemerkasa Plus yang diumumkan 15 Jun lalu, kerajaan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan pihak bank telah melaksanakan inisiatif bayaran balik pinjaman secara bersasar. 

 

Setakat ini, lebih daripada 250,000 peminjam yang layak telah mendapat kelulusan secara automatik. 

 

Mereka hanya perlu memilih sama ada untuk mendapatkan moratorium selama 3 bulan atau pengurangan bayaran ansuran sebanyak 50 peratus selama 6 bulan.

 

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, kerajaan memahami keresahan rakyat pada masa ini memandangkan ramai yang terjejas dan ini bukanlah melibatkan golongan B40 sahaja. 

 

"Saya banyak mendengar dan membaca rintihan yang sama daripada golongan M40 dan T20 yang turut mengalami peningkatan tanggungan kerana mereka juga membantu ahli keluarga atau saudara mara yang terjejas akibat COVID-19," katanya. - DagangNews.com